VIDEO: Harga Barang Turun Selepas SST? Lihat Apa Kata Rakyat…

Oleh: Shuhaniza Said

SHAH ALAM – Ramai yang menaruh harapan agar harga barangan dan keperluan akan menurun apabila kerajaan mengambil keputusan untuk menghapuskan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun hal berkenaan ibarat harapan tinggal harapan. Tinjauan SuaraTv mendapati, rata-ratanya mengeluh dan menyuarakan rasa kurang senang apabila harga barangan bukan sahaja tidak turun, malah ada sebahagiannya meningkat sejak Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mula diperkenalkan 1 September lalu.

Bagi Suhana, 58, beliau berkata, dirinya sangat terkesan dengan situasi tersebut memandangkan tidak mempunyai pendapatan bulanan yang tetap.

“Ini lagi terasa banyak yang naik…kalau untuk perbelanjaan harian lah.

“Mahal laa, terasa kenaikannya.. kalau makcik, memang terasa.

“Misal kata bawa laa RM50 pergi pasar…kalau dah pecahkan duit tu, sampai esok dah tak cukup.. beli ikan sayur,”katanya.

Suhana juga meluahkan rasa kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sesuka hati sejak pelaksanaan SST.

“Jangan lah suka suka hati letak harga… dulu sayur misal kata RM1… sekarang dijual ada yang RM2 seikat,” tambahnya.

Pendapat yang sama turut disuarakan seorang pesara guru. Rokiah, 78, berpendapat, kerajaan wajar mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menjalankan pemantauan bagi mengelakkan rakyat menderita ekoran terpaksa menanggung beban dek kenaikan harga barangan.

“Mahal, naik…contohnya kuih… dulu 40 sen sekarang 60 sen.. ikan dan sayur sudah tentulah (naik).

“Dalam RM100 lebih untuk beli barang dapur…. kalau dulu RM50 dah cukup.

“Kerajaan patut pantau supaya peniaga jangan menaikkan harga sesuka hati, kadang-kadang peniaga ini suka hati, macam naikkan harga kuih,” katanya lagi.

Sementara itu seorang suri rumah, Masitah Jamin, 63, berpendapat, kenaikan harga barangan didorong oleh faktor ‘musim’ yang membuatkan harga sesuatu barangan naik mendadak.

“Sayur sayuran ni kadang-kadang ikut musim… kalau cuaca hujan, mungkin harganya naik sikit. Kalau hari biasa, ok saja.

“Kemudian ikan ni ikut air laut…bergelombang, atau bergelora.. Mungkin nelayan tak berani ke laut. Kalau (musim) biasa, harganya biasa-biasa saja,”katanya.

Beliau tidak menolak bahawa terdapat kenaikan harga terhadap sesetengah barangan, namun ujarnya, rakyat perlu menjadi pengguna yang bijak agar tidak terus terbeban dek sikap tidak bertanggungjawab sesetengah peniaga.

“Kalau kita beli di tempat borong misalannya, dapat lah harga murah.. kalau beli daripada peniaga kecil kecilan, harganya pun lebih sikit sebab dia beli barang pun tak banyak. Jadi kita kena pandai lah,” katanya.

Dalam masa sama katanya, kerajaan perlu lebih kerap membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini menyalahkan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang didakwa menjadi punca kenaikan harga barang.

Bagaimanapun selepas cukai itu dihapuskan dan digantikan dengan cukai SST, Guan Eng mengakui harga barangan masih tidak turun, senada dengan rintihan rakyat.

Namun menteri itu mendakwa SST bukan sebab utama di atas kenaikan harga barang tetapi ia didorong oleh banyak faktor lain termasuk barang diimport, penyusutan nilai ringgit, musim perayaan, kegiatan penyeludupan, kemarau di negara pengeluar, selain sikap peniaga yang mahu mengaut keuntungan berlebihan. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.