Tragedi Lemas: Jangan Tuding Jari Kepada Sesiapa

SERDANG: Orang ramai diminta berhenti menyalahkan mana-mana pihak terbabit dalam tragedi yang mengorbankan enam anggota bomba ketika menyelamatkan seorang remaja lelaki yang lemas di Lombong Taman Putra Perdana berhampiran perumahan D’Islands, di sini, semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata, kejadian yang menimpa kesemua mangsa adalah satu kemalangan dan di luar bidang kuasa semua pihak.

“Tohmahan dan dakwaan daripada sesetengah individu yang menuding jari kepada pihak lain atas apa yang berlaku dalam tragedi ini tidak sepatutnya berlaku.

“Anggota bomba yang maut dalam kejadian ini terkorban ketika melaksanakan tugas menyelamatkan mangsa dan apa yang berlaku adalah di luar kawalan mana-mana pihak.

“Sepatutnya, kita perlu kaji kelemahan dari setiap aspek bagi mengelak tragedi sama berulang,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Serdang, selepas melawat ahli keluarga remaja lemas, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, di sini, hari ini.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan kepada ahli keluarga mangsa selepas semua urusan selesai.

“Buat masa ini, kami belum memuktamadkan apa bantuan yang akan dihulurkan kepada mangsa, namun bantuan akan diberikan kepada semua mangsa yang terbabit dalam tragedi ini.

“Bagi enam anggota bomba yang terkorban dalam tragedi ini, mereka adalah ‘unsung hero’ (wira tidak didendang),” katanya yang meluangkan kira-kira dua jam bersama ahli keluarga remaja berkenaan.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohammad Azzam Naim, 46, memberitahu pihaknya dimaklumkan pihak hospital bahawa proses bedah siasat dijangka selesai kira-kira jam 12 tengah malam nanti.

“Sebaik selesai bedah siasat ini, jenazah akan dibawa ke Masjid Taman Putra Perdana untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di lokasi sama.

“Saya mahu urusan pengebumian jenazah dijalankan secepat mungkin bagi memudahkan urusan semua pihak,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Serdang di sini, hari ini.

NSTP melaporkan enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) ditemui lemas ketika melakukan operasi SAR Muhammad Ilham Fahmy, yang dilaporkan lemas di lokasi kejadian, semalam.

Dalam kejadian itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, lemas ketika operasi kira-kira jam 9 malam tadi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.