“Terlalu Terbuka Kepada Ganja Tidak Baik Untuk Sesebuah Negara”, Pakar Antarabangsa Beri Peringatan Kepada Malaysia

SHAH ALAM – Malaysia diingatkan supaya berhati-hati ketika membincangkan proses membenarkan penggunaan ganja (marijuana) bagi tujuan perubatan.

Peringatan itu diberikan Persatuan Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) sambil mengatakan sikap terlalu terbuka kepada ganja tidak baik untuk sesebuah negara.

Presiden UICC, Prof Sanchia Aranda yang dipetik FMT berkata, ini kerana perawatan untuk penyakit kanser menerusi kaedah perubatan moden akan terpinggir dengan kewujudan ubat alternatif seperti ganja.

Tambahnya, beberapa negara juga sedang menghadkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan. 

“Proses menghadkan penggunaan herba dalam perubatan seperti ganja memang sedang berlaku di Australia dan New South Wales khususnya di Victoria dengan memulakannya melalui ujian klinikal dahulu.

“Terdapat beberapa bukti berdasarkan kajian semasa bahawa ganja boleh merawat dan menyembuhkan kanser.

“Kajian itu mengatakan ganja boleh membantu melegakan rasa sakit tetapi kita perlu memastikan sains membuktikannya terlebih dahulu,” katanya.

Oleh itu ujarnya, jika Malaysia ingin membenarkan penggunaan ganja dalam perubatan, ia tidak seharusnya terus ‘membuka pintu’ untuk tujuan itu, sebaliknya mempertimbangkan pendekatan seperti Australia iaitu melakukan percubaan terlebih dahulu.

Isu penggunaan ganja dalam perubatan hangat diperkatakan pada masa kini selepas viral kes seorang bapa muda yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana memiliki, memproses dan mengedarkan ganja yang diproses untuk tujuan perubatan.

Kes Muhammad Lukman Mohamad itu mengundang simpati netizen kerana pemuda itu dikatakan menggunakan ganja untuk diproses bagi tujuan perubatan. Malah, kaedah alternatif yang disediakan Lukman itu dilaporkan sudah merawat lebih 800 pesakit.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang tidak berkompromi dengan penggunaan dadah termasuk ganja. Di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, individu yang didapati memiliki 200 gram ganja atau lebih, boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Kes Muhammad Lukman itu turut mendapat perhatian pemimpin, antaranya Ahli Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang secara peribadi akan menulis surat rayuan kepada Peguam Negara berdasarkan merit kes berkenaan.

Ujar Izzah, ganja semakin diterima ramai di banyak negara sebagai tumbuhan yang mempunyai banyak faedah, terutamanya rawatan pelbagai penyakit kronik.

“Sudah tiba masanya untuk menyemak semula definisi apa yang membezakan seseorang individu, pengedar, penagih atau pesakit yang memerlukan ganja untuk rawatan,” kata Izzah.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga senada dengan Nurul Izzah dan berpendapat bahawa kerajaan wajar menyemak semula kes Muhammad Lukman. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.