“Tangkap Rosmah, Selesai Masalah”

SHAH ALAM – Penangkapan isteri kepada mantan perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam adalah satu cubaan untuk Tun Dr Mahathir Mohamad mengalihkan isu yang dibangkitkan rakyat bersabit lawatannya ke luar negara baru-baru ini.

Demikian pandangan yang diutarakan seorang pensyarah dan penganalisis politik, Edwin Michael.

Menulis di laman sosial Facebook, Edwin berkata bagi melampiaskan rasa marah ekoran beberapa isu yang dibangkitkan, maka Mahathir mengambil ‘jalan penyelesaian’ dengan mengarahkan penangkapan Rosmah.

Mahathir baru-baru ini mengadakan lawatan ke luar negara sempena Perhimpunan Agung Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang ke-73 di New York.  

Lawatannya yang turut disertai beberapa ahli keluarga ke persidangan berkenaan mendapat kecaman netizen yang menyindir seolah-olah perdana menteri itu membawa ‘rombongan sekolah’ ke persidangan tersebut. 

Malah ada juga yang mempersoalkan mengenai tanggungan perbelanjaan Mahathir dan keluarganya ke New York. 

Ini selepas foto ahli ikeluarga Dr Mahathir tular di media sosial. 

Mengulas mengenai penahanan Rosmah semalam, Mahathir berkata tindakan tersebut adalah mengikut lunas undang-undang dan tiada kaitan dengan balas dendam.

“Ia tiada kaitan langsung dengan balas dendam, undang-undang menyatakan sekiranya anda mengambil atau mencuri duit, anda akan didakwa di mahkamah,” demikian jelas beliau.

Rosmah ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya jam 3.20 petang semalam selepas lima jam memberi keterangan.

Pagi tadi, beliau dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk didakwa atas beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Rosmah bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas 17 pertuduhan yang dikenakan ke atasnya dan minta dibicarakan.

Hakim Azura Alwi menetapkan RM2 juta sebagai jumlah ikat jamin, dengan dua penjamin. 

Mahkamah menetapkan 8 November sebagai tarikh sebutan kes . -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.