Siasatan Tidak Lengkap, Pendakwaan Ke Atas Najib Gagal Patuhi Seksyen 51A – Tan Sri Shafee

KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempunyai keyakinan tinggi untuk mengetepikan empat pertuduhan ke atas Datuk Seri Najib Razak susulan pendakwaan gagal mematuhi Seksyen 51A.

Muhammad Shafee berkata, pendakwaan gagal menyerahkan dokumen sebenar dan hanya diberikan cakera padat (CD) sejak hari pertama pertuduhan dibuat ke atas bekas Perdana Menteri itu.

“Dalam pertuduhan itu, saya dapati terdapat kecacatan serius dan kita mempunyai pembelaan yang kuat kerana ada fakta yang mencurigakan serta pendakwaan tidak mempunyai siasatan lengkap.

“Sejak 8 Ogos lalu, kami hanya diberikan CD dan pihak pendakwaan kata semua dokumen dalam CD tersebut, di mana cara ini tidak betul dalam serahan dokumen.

“Kami sepatutnya diberikan dokumen sebenar, salinan fotokopi pun tiada masalah, kita mesti diberikan dokumen sebenar yang terikat dengan indeks,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu Muhammad Shafee mewakili Najib hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pengurusan kes empat pertuduhan anak guamnya.

Antaranya, tiga pertuduhan pecah amanah skandal SRC International Sdn Bhd dan satu lagi penyalahgunaan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan membabitkan RM42 juta.

Empat pertuduhan berkenaan dibuat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Muhammad Shafee juga mendakwa, CD yang mengandungi dokumen pendakwaan tidak dapat dibuka dan sukar dibaca kerana kebanyakan dokumen berkenaan rosak.

“Bila kami datang balik (pengurusan kes) dan kita buka CD tersebut, kebanyakan dokumen itu rosak, kami tak boleh buka (baca), kami hanya boleh lihat garisan sahaja dan sedikit saja boleh dibaca.

“Paling teruk mereka tidak meletakkan jujukan tertentu yang logik supaya kita boleh ikut apa pendakwaan yang disebutkan ketika prosiding mahkamah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.