Rosmah Mengaku Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR – Isteri mantan perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas 12 pertuduhan berkenaan transaksi haram dan 5 pertuduhan gagal isytihar pendapatan di bawah AMLATFPUAA 2001.

Rosmah, 67, membuat pengakuan tersebut dihadapan Hakim, Azura Alwi selepas kesemua pertuduhan selesai dibacakan terhadapnya satu persatu. 

Beliau juga meminta dibicarakan atas semua pertuduhan keatasnya.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga denda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent sementara pendakwaan diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Pada mulanya pihak pendakwaa meminta jumlah ikat jamin ditetapkan pada kadar RM10 juta, dengan dua syarat iaitu passport diserahkan dan Rosmah tidak dibenarkan berjumpa dengan mana-mana saksi pendakwaraya sepanjang tempoh perbicaraan. 

Bagaimanapun Peguambela Geethan Ram Vincent memohon mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin yang munasabah.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan RM2 juta sebagai jumlah ikat jamin, dengan dua penjamin. Dua syarat yang dipohon Pendakwaraya Gopal Sri Ram turut dibenarkan.

Peguambela Kumaraendran mohon ikat jamin dibayar secara ansuran, dengan RM500,000 dibayar hari ini, dan bakinya pada atau sebelum 11 Oktober depan.

Gopal Sri Ram tiada bantahan terhadap cadangan itu.

Hakim Azura Alwi kemudiannya membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 8 November sebagai tarikh sebutan kes . -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.