Prosiding Kes Najib Hangat

KUALA LUMPUR: Prosiding sebutan kes salah guna kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram Datuk Seri Najib Razak hangat apabila pendakwaan dan pembelaan bertikam lidah mengenai penyerahan dokumen kes.

Ia bermula apabila peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihaknya diserahkan dokumen mengikut Seksyen 51 Kanun Acara Jenayah dalam keadaan yang tidak teratur.

Muhammad Shafee berkata, malah sesetengah dokumen itu yang diberikan dalam bentuk cakera padat (CD) tidak boleh dibaca.

Menurut Muhammad Shafee, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut cuba menyerahkan dokumen itu kepada anak guamnya semalam ketika beliau melawat isterinya yang memberikan keterangan kepada agensi itu.

“Ini bukan caranya untuk menyerahkan dokumen mengikut Seksyen 51… Ini pertama kali saya dengar dokumen sebegitu diserahkan terus kepada anak guam.

“Kami ada mengemukakan surat meminta supaya dokumen itu diserahkan dalam keadaan teratur tetapi tiada jawapan.

“Kami perlu memahami dokumen yang diberikan, jadi berilah kami dokumen dalam format yang teratur dan senang difahami.

“Kami tidak meminta untuk diberi layanan istimewa tetapi cukup layanan yang sewajarnya,” katanya.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Pendakwa Raya Sulaiman Abdullah berkata, pihaknya sudah membuat yang terbaik untuk menyerahkan dokumen terbabit kepada pihak pembelaan.

Sulaiman berkata, undang-undang menghendaki pihaknya untuk menyerahkan dokumen berkenaan kepada tertuduh.

Katanya, pihak pendakwaan terbuka kepada sebarang cadangan dalam isu penyerahan dokumen terbabit.

“Kami mengikut peruntukan undang-undang dengan ketat sekali tetapi tertakluk kepada faktor ekonomi. Kami kekurangan kakitangan dan sumber.

“Tetapi apabila kami memaklumkan kepada pembelaan untuk mengadakan perjumpaan dalam sidang sebelum bicara (PTC), pihak pembelaan hanya mendiamkan diri dan memilih untuk hanya berjumpa di mahkamah,” katanya.

Muhammad Shafee bagaimanapun mempersoalkan bagaimana pihaknya boleh menghadiri PTC sedangkan mereka tidak dapat memahami apa yang terkandung dalam dokumen kes.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan pada 31 Oktober bagi urusan penyerahan dokumen. – BERITA HARIAN

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.