100 Anggota Bomba Sertai Solat Jenazah Enam Rakan Setugas

SHAH ALAM – Jenazah enam anggota Bomba dan Penyelamat yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja di Puchong di sini malam tadi selamat disembahyangkan di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam sebentar tadi.

Solat jenazah itu disertai oleh kira-kira 100 anggota dan pegawai bomba pada pukul 8.45 pagi.

Ia turut dihadiri Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad serta Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Mohamad Mentek dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohd. Hamdan Wahid.

Terdahulu, kesemua jenazah anggota tersebut telah dimandikan di Hospital Serdang sebelum tiba di Balai Bomba Shah Alam kira-kira pukul 8.40 pagi.

Kesemua anggota bomba yang maut dalam operasi SAR itu terdiri daripada enam anggota Pasukan Penyelam di Air (PPDA) Pelabuhan Klang dan Shah Alam.

Mereka adalah Mohd. Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, Yahya Ali, 24, Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari,25.

Jenazah anggota bomba itu kemudiannya akan dibawa ke kampung halaman mereka di Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.