‘Saya Mungkin Pemenang Puskas’ – Hardi

“RAMAI kawan saya berkata, jika FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) menghantar pencalonan gol saya ketika menentang Singapura kepada Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mungkin saya menjadi rakyat Malaysia pertama memenanginya sebelum Faiz Subri.”

Demikian reaksi bekas pemain kebangsaan, Mohammad Hardi Jaafar ketika mengulas mengenai jaringan menarik­nya dalam aksi separuh akhir Piala AFF 2007 yang masih menjadi ingatan peminat-peminat bola sepak tempatan, lapor Kosmo.

Hardi berpendapat, dia mungkin memiliki peluang untuk memenangi Anugerah Puskas jika pertandingan bagi gol tercantik dunia itu diwujudkan berbanding 2009.

“Jika jaringan gol saya itu berlaku pada 2009, mungkin saya berada dalam senarai pendek FIFA tetapi jaringan saya hadir pada 2007. Berlaku terlalu awal, manakala anugerah tersebut belum wujud lagi.

“Benar, jaringan itu benar-benar cukup istimewa bagi saya. Satu memori indah ketika mewakili skuad kebangsaan. Ada yang kata (gol) itu bernasib baik, tuah atau sebagainya tetapi saya tidak peduli apa orang kata kerana saya berusaha kuat untuk menjaringkan gol demi negara.

“Kawan-kawan saya pernah mengatakan kepada saya, jika (anugerah) Puskas itu sudah wujud, mungkin kamu pemenang pertama dari Malaysia dan bukannya Faiz tetapi sebenarnya saya tidak kisah kerana saya sudah cukup berbangga dengan kejayaan Faiz.

“Ini kerana Faiz bukan sahaja membawa dirinya tetapi mewakili Malaysia dan berada di pentas tertinggi bola sepak dunia dengan menunjukkan asal kamu, sekali gus memperkenalkan Malaysia di mata dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu, FIFA telah me­ngumumkan senarai pendek 10 calon Puskas iaitu Kevin-Prince Boateng (Ghana), Alejandro Camargo (Argentina), Deyna Castellanos (Venezuela), Moussa Dembele (Perancis), Olivier Giroud (Perancis), Aviles Hurtado (Colombia), Mario Mandzukic (Croatia), Oscarine Masuluke (Afrika Selatan), Nemanja Matic (Serbia) dan Jordi Mboula dari Sepanyol bagi pencalonan pada 2017.

Pada Januari lalu, Malaysia mencipta sejarah apabila Faiz muncul pemain tempatan pertama memenangi Anugerah Puskas 2016 pada majlis di Zurich, Switzerland.

Bagaimanapun, tiada sebarang pencalonan melibatkan pemain dari Malaysia tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Hardi yang pernah mewakili Selangor dan Perak dalam karier profesionalnya menggesa pemain-pemain Liga Malaysia (Liga M) terus berusaha untuk menghasilkan gol-gol menarik, sekali gus menarik peminat-peminat untuk hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.