Persatuan Nelayan Mahu Bantuan Diberi Dalam Bentuk Wang Tunai

KUALA TERENGGANU – Persatuan  Nelayan  Negeri Terengganu (Penentu) memohon agar  bantuan berjumlah RM30,000 kepada  setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang  diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di salurkan dalam bentuk wang tunai.

Pengerusinya, Mat Yassim Mohamed berkata, walau bagaimanapun kerajaan berhak menentukan bantuan yang bakal diberikan kepada PPK dan PNK  di seluruh negara kerana sudah tentu apa juga sumbangan yang bakal diterima itu keuntungan adalah untuk petani, penternak dan juga nelayan.

“Saya mewakili nelayan di negeri ini mengucapkan terima kasih dengan sumbangan yang bakal diterima.  Cuma, kita mohon sekiranya bantuan itu diberikan dalam bentuk wang tunai bagi membolehkan persatuan membuat penambahbaikan dan juga pusingan modal serta kebajikan ahli persatuan.

“Namun, persatuan tetap bersyukur dengan pengumuman itu kerana walau dalam apa juga sumbangan, kita akan manfaatkannya dengan sebaik mungkin,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yakin perkara itu turut dipersetujui oleh persatuan-persatuan lain kerana melalui sumbangan tunai banyak perkara dapat diselesaikan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sumbangan RM30,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) sebagai menghargai usaha petani, penternak dan nelayan.

Menurutnya, jumlah tersebut melibatkan peruntukan dana RM7 juta daripada kerajaan.

“Ini akan memberi manfaat kepada 1 juta ahli petani, penternak dan nelayan di seluruh negara.

“Saya percaya ia menyegarkan lagi pimpinan kita di peringkat kawasan,” katanya berucap pada perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor.

Sementara itu, Mat Yassim turut menyarankan nelayan pantai di negeri ini tidak terlalu bergantung kepada hasil tangkapan ikan semata-mata tetapi berusaha mencari kaedah lain bagi menambah pendapatan keluarga.

Beliau berkata, perkara ini penting bagi memastikan hasrat melihat kumpulan itu keluar dari belenggu kemiskinan dapat dicapai.

Menurutnya, kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perikanan dan juga pelbagai agensi berkaitan sedia menyalurkan bantuan serta kemudahan diperlukan bagi membantu nelayan.

“Namun jika bantuan diberikan itu rosak dan perlu diganti baharu, ia akan mengambil sedikit masa dan sudah pasti pendapatan mereka terjejas ketika itu.

“Sebab itu, nelayan di negeri ini diminta tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan sebagai sumber pendapatan utama.

“Sebaliknya perlu menceburi bidang lain, seperti penternakan, perniagaan dan juga perusahaan pemprosesan makanan termasuk produk hasil laut seperti keropok lekor,” katanya.

Katanya, daripada 10,000 nelayan di negeri Terengganu hampir separuh dari mereka merupakan nelayan pantai, namun hanya lima peratus sahaja yang menceburi bidang lain bagi menambah pendapatan keluarga. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.