Penderitaan Rakhine Sukar Dibayangkan Kata PBB

YANGON – Skala penderitaan di negeri Rakhine, Myanmar ‘tidak dapat dibayangkan’, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam selepas tiga utusannya menyertai lawatan kerajaan khusus untuk agensi bantuan dan diplomat.

“Skala penderitaan manusia tidak dapat dibayangkan dan PBB mengucapkan berbanyak-banyak takziah kepada mereka yang terjejas,” kata badan dunia itu. PBB menuntut kitaran keganasan di Rakhine dihentikan, kosmo.

Ia juga menggesa pelarian Islam Rohingya dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka dengan selamat dan secara sukarela.

Wakil PBB itu diiringi oleh beberapa diplomat lain dan sebilangan agensi bukan kerajaan antarabangsa (INGO).

Lawatan tersebut sepatutnya berlangsung pada minggu lalu, namun ditangguhkan.

Delegasi Kesatuan Eropah turut serta dalam kunjungan itu yang melibatkan beberapa kawasan di sekitar bandar Maungdaw dan Rathedaung.

“Lawatan ini bukan misi siasatan,” kata mereka.

Myanmar mengetatkan akses ke negeri bergolak itu sejak bulan lalu selepas pemberontak Rohingya melancarkan serangan yang mendorong tindakan keras tentera Myanmar.

Operasi tentera Myanmar mengakibatkan 500,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, manakala berpuluh-puluh perkampungan etnik Islam itu dibakar.

Seorang pegawai Myanmar berkata, beratus-ratus orang terkorban dalam keganasan di utara Rakhine termasuk komuniti Rohingya.

Beberapa INGO berkata, angka kematian sebenar adalah lebih tinggi terutamanya melibatkan etnik Rohingya, manakala PBB melabelkan operasi tentera Myanmar sebagai penghapusan etnik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.