Pemuda PAS: Yusuf Azmi Ikon Anak Muda

Pemuda PAS berkata parti itu dan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi, dipertemukan oleh satu persamaan – mahu melihat perubahan berlaku dalam negara.

Walaupun berbeza cara dan pendekatan, kata Muhammad Khalil Abdul Hadi, PAS dan tokoh yang semakin dikenali ramai itu menuju ke arah matlamat sama iaitu tidak menzalimi orang yang lemah.

Dalam catatannya ketua Pemuda PAS itu menjelaskan Yusuf Azmi tidak mengisytiharkan dirinya menjadi anggota PAS.

“Tetapi rohnya mahu melihat satu perubahan berlaku dalam negara kita kepada satu sistem yang tidak menzalimi orang yang lemah.

“Ke arah matlamat itu kami menuju walaupun berbeza cara dan pendekatan,” katanya.

Yusuf adalah Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM yang begitu menyerlah sejak akhir-akhir ini.

Sering berserban dan berjubah Yusuf selalu bertindak berani memperjuangkan nasib pengguna yang berdepan masalah.

Terbaru Yusuf dan kumpulannya membongkar isu skim tawaran membina rumah yang didakwa melibatkan kerugian lebih RM6 juta.

Dalam beberapa klip video Yusuf juga pernah bercerita bagaimana dia berdepan dengan ramai samseng semasa membantu seorang wanita yang ditindas peminjam wang.

Yusuf muncul menjadi salah seorang tetamu himpunan Fastaqim 2.0 anjuran PAS di Kuala Nerus pada 29 dan 30 Sept lalu. Dia juga meluangkan masa bertemu ayah Muhammad Khalil, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam pertemuan yang kelihatan begitu mesra.

Sistem hitam dalam negara

Bagaimanapun Yusuf memberitahu Malaysiakini ketika itu pertemuan berkenaan tidak ada kaitan dengan politik sebaliknya demi kepentingan ummah.

Fastaqim 2.0 itu menjadi perhatian ramai kerana PAS mendakwa akan ada pengumuman mengejutkan mengenai kemasukan “tokoh nasional” ke dalam parti itu.

 

Bagaimanapun tiada pengumuman dibuat. Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan pula menjelaskan himpunan itu adalah kejayaan besar buat parti terbabit.

Menurut Muhammad Khalil beliau tidak menyangka dapat dipertemukan dengan Yusuf yang disebut-sebut ramai kerana usahanya membela nasib dan hak pengguna.

“Tidak keterlaluan untuk dianggap beliau sebagai salah seorang ikon anak muda kerana usaha suci dan mulia ini,” katanya.

Menurut Muhammad Khalil sistem kewangan semasa adalah zalim dan menindas golongan lemah.

“Inilah wajah sistem diamalkan dalam kehidupan manusia pada hari ini yang tidak diletakkan kena pada tempatnya.

“Semua yang ada mencanggahi kehidupan manusia fitrah sebenar untuk memberikan kebaikan dan menolak keburukan daripada terkena ke atas mereka,” katanya.
Akibatnya kata Muhammad Khalil golongan kaya terus bertambah kaya, manakala mustadhafin (orang yang daif) digula-gulakan.

“Sistem ‘hitam’ ini menjadikan manusia bertuhankan kebendaan sehingga matlamat menghalalkan cara.

“Perjuangan PAS sejak ia ditubuhkan ialah untuk merubah sistem ini kepada sistem Islam yang boleh menyelesaikan masalah,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.