Pelajar Korea Selatan Terlepas Hukuman Gantung

SEREMBAN – Seorang pelajar dari Korea Selatan berusia 20 tahun terselamat daripada hukuman di tali gantung setelah Mahkamah Tinggi Seremban di sini melepaskan dan membebaskan dia daripada dakwaan mengedar dadah hari ini.

Kim Yun Soung yang didakwa mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dilepaskan dan dibebaskan oleh Hakim Abu Bakar Jais selepas saksi utama kes itu mengaku berbohong ketika memberi keterangan pada perbicaraan hari ketiga, Jumaat lalu, lapor Kosmo.

Terdahulu, peguam tertuduh Gobind Singh Deo memohon supaya mahkamah melepaskan dan membebaskan pelajar sebuah kolej swasta dekat Nilai itu dengan menggunakan kuasa bertindak mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah.

Menurut Gobind, ia berikutan saksi utama kes tersebut mengaku berbohong mengenai hasil siasatan kes itu pada 29 September 2017 sekali gus menghilangkan kredibilitinya sebagai seorang kakitangan kerajaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Rahimah Abd Majid bagaimanapun memohon tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan dengan hujah tiada alasan kukuh untuk mengenepikan pendakwaan kerana keterangan pihaknya masih tergantung.

Rahimah ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dan mengambil keterangan semua pihak termasuk jurubahasa mahkamah susulan keterangan palsu yang diberikan oleh saksi berkenaan.

Tambah beliau, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 194 Kanun Keseksaan iaitu memberi keterangan palsu di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun.

Sementara itu, nenek tertuduh, Youn Young Ae, 67, yang menetap di Kota Kinabalu, Sabah sejak tahun 2005 menangis teresak-esak selepas keputusan mahkamah dalam kes itu memihak kepada cucunya.

“Saya sangat terharu dengan keputusan ini. Hampir setahun Yun Soung ditahan. Saya akan kembali ke Korea Selatan malam ini,” katanya.

Pada 30 September lalu dilaporkan perbicaraan kes seorang pelajar kolej warga Korea yang didakwa mengedar dadah terpaksa ditangguhkan selepas saksi utama kes itu mengaku berbohong dalam keterangannya berhubung hasil siasatan.

Berdasarkan pertuduhan pada 31 Oktober tahun lalu, Yun Soung yang merupakan pelajar kolej swasta di Nilai dekat sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas dakwaan mengedar 219 gram kanabis di kediamannya pada pukul 12.30 tengah malam, 19 Oktober 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Yun Soung dibicarakan pertama kali pada Mac lalu di Mahkamah Tinggi di sini, namun ketika perbicaraan kedua di mahkamah sama pada Jumaat lalu, saksi itu didakwa memberikan kenyataan bercanggah.

Pada perbicaraan kali ketiga pada 29 September 2017, saksi terbabit mengaku berbohong menyebabkan Abu Bakar menangguhkan kes bagi memberi masa kepada pihak pendakwa raya mengkajinya semula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.