Nana Nafi Ada Masalah Dengan Pengurus

KUALA LUMPUR – Penyanyi Siti Nordiana, 33, menafikan dia mempunyai masalah dengan pengurusnya sehingga membuat keputusan untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan baharu, Seventeen Eleven Music Sdn. Bhd.

Dia yang popular menerusi single terkini Terus Mencintai itu ketika dihubungi Utusan Online berkata, mungkin ada yang salah faham akan kaitannya dengan syarikat berkenaan.

 

“Seventeen Eleven Music sekadar terbabit dari sudut pengedaran lagu, bukannya menguruskan kerjaya seni saya. Saya masih lagi diuruskan pengurus lama yang dikenali sebagai Anas,” katanya memberi penjelasan.

Sementara itu, mengulas tentang penguasaan lagu Terus Mencintai yang mengungguli tiga carta utama tempatan iaitu Muzik-Muzik 32, Hot FM dan Era FM, dia memanjatkan rasa syukur kerana karya nukilannya sendiri itu diterima baik oleh peminat.

Tambahnya yang mesra disapa sebagai Nana itu, dia sendiri tidak menjangkakan sambutan sedemikian rupa dan berharap para peminat terus-menerus memberikan sokongan terhadap karier seni yang diceburi sejak 1999.

“Dalam masa yang sama, saya berharap keinginan untuk beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) dimakbulkan kerana selama ini belum lagi berpeluang mara sehingga ke peringkat tersebut,” ujarnya.

Menurut Nana, lagu nyanyiannya itu telah layak mara ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik yang akan berlangsung pada 5 November ini dan kini sedang sibuk dengan persiapan menjelang tarikh tersebut.- UTUSAN ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.