Jenazah Raja Puan Besar Perak Selamat Dimakamkan

KUALA KANGSAR – Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, yang mangkat petang semalam, selamat dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar di Bukit Chandan, di sini, petang tadi.

Istiadat pemakaman Almarhumah yang juga isteri kepada Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, selesai kira-kira jam 6.05 petang dalam suasana cuaca mendung dan gerimis.

Jenazah baginda dimakamkan bersebelahan makam Almarhumah Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Izan Raja Bendahara Raja Abdul Rashid.

Raja Nor Mahani yang diputerikan pada 18 Oktober 1942 dan juga anakanda kepada pasangan Raja Shahar Shah dan Che Yang Sharifah, mangkat pada usia 75 tahun di Petaling Jaya, Selangor, pada jam 5.07 petang semalam.

Pada istiadat pemakaman tadi, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengetuai adat menabur bunga mawar dan menyiram air mawar diikuti Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Disusuli oleh Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut melakukan istiadat berkenaan kedua-dua anakanda Almarhumah iaitu Raja Shah Azman dan Raja Nor Azwina diikuti Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Terdahulu, jenazah baginda disemayamkan di Istana Ar-Ridzuan, Jalan Raja Di Hilir, Ipoh, bagi memberi peluang orang kenamaan dan rakyat jelata memberi penghormatan terakhir sebelum dibawa ke sini.

Sebaik tiba pada jam 3.10 petang, jenazah Almarhumah dibawa menaiki pedati khas ‘Seraja Diraja’ bermula dari Galeri Sultan Azlan Shah ke Masjid Ubudiah sejauh 100 meter.

Jenazah kemudian dibawa ke dalam Masjid Ubudiah untuk majlis tahlil dan bacaan al-Quran, sebelum disembahyangkan oleh jemaah selepas solat Asar.

Almarhumah dimasyhurkan sebagai Raja Puan Besar Perak pada 1 Julai 2014 serentak dengan pemasyhuran Raja Jaafar sebagai Raja Muda Perak pada tarikh berkenaan.

Sebelum itu, Almarhumah dimasyhurkan sebagai Raja Puan Muda Perak apabila Raja Jaafar menjadi Raja Dihilir Perak pada tahun 1998.

Almarhumah yang berkahwin dengan Raja Jaafar pada tahun 1973 turut aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia sebelum melepaskan jawatan itu beberapa hari lalu.

Baginda yang bersekolah di Kolej Tunku Khursiah di Negeri Sembilan dan lulusan Universiti Malaya, pernah menjadi guru di Sekolah Raja Chulan di Ipoh dan Sekolah St John Institution di ibu negara. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.