Idayu Bakar Semangat Indah Berjuang Hingga Ke Akhir

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Indah Ruhaila, mendedahkan harapan tinggi yang diberikan oleh rakan seperjuangan, Idayu, membakar semangatnya untuk bersaing dalam program Akademi Fantasia (AF) Megastar.

Atas alasan itu, beliau berazam untuk berjuang sehingga ke pentas akhir dalam rancangan yang menyaksikan persaingan dalam kalangan bekas peserta AF.

“Sebenarnya, pada setiap minggu pertandingan saya bagai sudah dapat menerima seandainya rezeki saya untuk berjuang dalam rancangan itu terhenti.

“Saya memahami lumrah pertandingan, namun pada masa sama saya jadi tidak sampai hati mengingatkan wajah sugul Idayu seandainya saya terkeluar.

“Biarpun bersaing dalam program sama, namun Idayu berharap saki baki peserta wanita yang tinggal dapat berjuang hingga ke peringkat akhir kerana pertandingan ini dikuasai oleh peserta lelaki,” kata Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussin, 30.

Selain dirinya dan Idayu, seorang lagi peserta wanita yang masih bertahan ialah Marsha, manakala Adira pula antara penyanyi pertama tersingkir daripada program terbabit.

Pada saingan suku akhir yang akan berlangsung Ahad ini, lapan peserta berentap merebut peluang ke peringkat seterusnya. Mereka termasuk Syamel, Bob, Amir, Amir Jahari dan Shahir.

Indah Ruhaila yang popular dengan lagu Percayalah itu menjelaskan, beliau menyertai rancangan berkenaan bagi menimba pengalaman selain mendapat pendedahan lebih meluas dalam bidang nyanyian.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang bersusah payah berusaha menjadikan persembahan saya berbeza, saban minggu. Jika diikutkan, tugas saya adalah untuk menyanyi dengan baik kerana semuanya sudah dirancang oleh seluruh ‘team’.

“Tujuan utama saya menyertai AF Megastar ini adalah untuk memperbaiki lagi nyanyian, dengan mengambil komen diberikan oleh barisan juri profesional. Ia mengingatkan diri supaya tidak sentiasa leka berada di zon yang selesa,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.