‘IACA Perlu Idea Baru Tangani Rasuah’

Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) perlu melakar idea-idea baharu bagi memastikan jenayah rasuah dan salah guna kuasa ditangani dengan lebih menyeluruh agar akademi itu kekal relevan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata IACA juga perlu memastikan idea-idea tersebut disampaikan kepada masyarakat agar gejala itu dapat ditangani dalam jangka masa panjang.

“Saya menyeru anggota IACA agar mewujudkan satu rangkaian kerjasama sistematik, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi dengan berkongsi pengalaman masing-masing tanpa terikat dengan protokol.

Setiap anggota perlu memahami bahawa faedah yang diberikan oleh IACA bukan sahaja kepada anggotanya, malah kepada seluruh dunia, sejajar dengan visi IACA dalam menyelesaikan isu rasuah dan salah guna kuasa untuk jangka masa panjang demi kepentingan semua,” katanya semasa berucap pada IACA keenam di Sharm el-Sheikh, Mesir, semalam.

Kenyataan Razali pada IACA di Mesir itu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

image: https://i.malaysiakini.com/1134/f972d7163d94d53e55cfff281eb5e7c5.jpeg

Razali berkata Malaysia selama ini menyokong usaha IACA dalam pencegahan rasuah dan antara komitmen yang ditunjukkan ialah penganjuran modul Sarjana Pengajian Pencegahan Rasuah (MACS) oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) pada 2012 dan 2014.

“Seramai 60 pegawai agensi antirasuah dari pelbagai negara telah menerima latihan menerusi MACS dalam tempoh masa tersebut,” katanya.

Kelas antirasuah di sekolah rendah

Dalam pada itu, bagi memastikan gejala rasuah dan salah guna kuasa diperangi secara habis-habisan, beliau berkata, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan beberapa perubahan struktur dari segi undang-undang, antaranya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 serta Akta Perlindungan Saksi 2009.

Kerajaan turut mempertimbangkan secara serius untuk menguatkuasakan beberapa peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi memastikan syarikat korporat dan organisasi bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan oleh kakitangan mereka melibatkan tender kerajaan, katanya.

Dalam masa sama, katanya, Kementerian Pendidikan juga telah memulakan kelas mengenai antirasuah di peringkat sekolah rendah serta menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah di peringkat universiti.
Bagi menangani gejala rasuah, Razali menegaskan bahawa setiap lapisan masyarakat, termasuk ahli politik, penjawat awam, golongan akademik dan pelajar perlu berpegang kepada misi tunggal, iaitu mewujudkan dunia tanpa rasuah.-Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.