Dua Lagi Suspek Kes Kebocoran Gas klorin Diburu

Polis sedang memburu dua lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes kebocoran gas klorin di Kampung Tambak Paya, Jasin, Melaka pada Khamis lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan berkata kedua-dua individu berusia 25 dan 40 tahun itu telah dikenal pasti dan mereka diminta segera menyerah diri di balai polis berhampiran.

“Dua suspek terbabit merupakan warga tempatan, tetapi bukan berasal dari Melaka… kita akan terus memburu dalang-dalang yang terlibat bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar mengenai Karnival Pencegahan Jenayah anjuran polis Melaka, Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) dan Bumiputra Rockers (BPR) di Melaka hari ini.

Beliau berkata sehingga kini enam individu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

“Salah seorang suspek yang ditahan merupakan saksi awal yang membuat laporan polis selepas mendakwa turut terkesan dari salah satu daripada tujuh tong berisi gas klorin yang bocor.

“Dia (suspek) kemudiannya bertindak membuat laporan dan memberikan maklumat palsu bahawa ada pihak membuang bahan kimia yang dipercayai berada di situ (kawasan rumah tinggal kampung itu) sejak Mac lepas.

“Oleh itu, suspek akan turut didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan berikutan membuat laporan palsu,” katanya.

Tong gas klorin dicuri

Abdul Jalil berkata pihaknya sudah mengenal pasti motif kecurian tujuh tong gas klorin dari Rawang, Selangor itu dan tujuan sebenar suspek adalah untuk menjual tong berkenaan dengan harga RM700 sebuah dan mereka telah berjaya menjual sebanyak tiga unit daripada 10 tong yang dicuri.

“Mereka ini tidak tahu yang harga gas klorin itu bernilai ribuan ringgit dan kerana sukar mendapatkan pembeli berikutan pasaran yang kecil dan takut ‘kantoi’ maka mereka menyimpan tujuh tong itu di rumah kosong terbabit,” katanya.

Khamis lepas media melaporkan dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, 250 penduduk di kampung tersebut diarahkan mengosongkan kediaman mereka oleh pihak bomba atas faktor keselamatan.

Manakala 50 mangsa termasuk anggota pihak berkuasa dikejarkan ke Hospital Melaka dan Hospital Jasin kerana mengalami sesak nafas dipercayai selepas terhidu gas klorin.

Dalam kejadian itu tujuh tong ditemui dibuang di kawasan rumah tinggal kampung itu, sebelum satu daripada tong tersebut bocor dan mengeluarkan bahan kimia dipercayai klorin.

Indeks jenayah Melaka

Dalam perkembangan lain, Abdul Jalil berkata indeks jenayah negeri ini terus mencatatkan penurunan sebanyak 15.2 peratus atau 2,252 kes yang direkodkan dari 1 Jan hingga semalam, berbanding 2,657 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Bagi indeks jenayah kekerasan, sebanyak 651 kes direkodkan dalam tempoh berkenaan, menurun 15.1 peratus, berbanding 767 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Manakala indeks jenayah harta benda pula, sebanyak 1,601 kes direkodkan, menurun 15.3 peratus berbanding 1,890 kes bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya.

Pada majlis yang turut dihadiri Presiden MGBM Mohd Ridhwan Mohd Ali dan anggota BPR itu, beliau berkata karnival pada 28 Okt itu turut melibatkan kerjasama legenda rock BPR.

Karnival itu antara lain bertujuan menarik golongan belia menjadi anggota dalam aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’.

“Pada karnival itu, kita akan memulakannya dengan pameran di hadapan pintu masuk Hard Rock Cafe, diikuti persembahan BPR.
“Kita juga menjalin kerjasama dengan BPR berikutan lagu-lagunya yang malar segar dan masih mendapat tempat di hati belia kerana kebanyakan liriknya berunsur pengajaran bertepatan dengan slogan karnival iaitu ‘1 Impian dan 1 Harapan’,” katanya.-Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.