Bekas Pemimpin DAP Desak Lim Kit Siang dan Mahathir Jelaskan Isu RM1 Bilion

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang disaran tampil memberi penjelasan serta membuat penafian terhadap dakwaan oleh penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin kononnya beliau menerima RM1 bilion daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perkara itu disuarakan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim kerana percaya rakyat mahu tahu kebenaran di sebalik dakwaan tersebut.

Sekiranya tidak betul, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Kit Siang perlu menyaman Raja Petra kerana memfitnah mereka.

“Kita ternanti-nanti kenyataan atau penafian daripada Kit Siang. Saya percaya bukan hanya ahli DAP serta penyokong setia beliau mahu tahu, tetapi rakyat secara keseluruhannya yang akan mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) juga mahu tahu kebenaran dakwaan itu.

“Dr. Mahathir juga perlu tampil, sama ada mengesah atau menafikan dakwaan itu.

“Sekiranya kedua-dua pemimpin itu menafikannya, mereka perlu bertindak menyaman Raja Petra kerana dakwaan ini sangat serius,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Raja Petra menerusi potral Malaysia Today Sabtu lalu mendakwa Dr. Mahathir memberi Kit Siang RM1 bilion bagi membolehkan beliau menjadi Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Perjanjian bayaran itu juga didakwa meliputi beberapa per­kara lain termasuklah Kit Si­ang tidak akan mendedahkan skandal forex Bank Negara dan memberikan kerusi Parlimen selamat untuk anak Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhriz bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Tunku Abdul Aziz yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah menegaskan, dakwaan Raja Petra itu sangat serius dan perlu diperjelaskan secepat mungkin oleh pihak yang dituduh.

“Kit Siang perlu tampil, perlu jelaskan sebagai seorang pe­mimpin parti, beliau tidak terlibat dalam perkara seperti didakwa itu, supaya seluruh negara faham situasi sebenar,” jelas beliau. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.