3 Pelajar Maut Semasa Sedang Berswafoto Di Landasan Kereta Api

New Delhi – Tiga pelajar kolej maut selepas dilanggar sebuah kereta api ekspres semalam ketika merakam swafoto di landasan.

Jurucakap polis, RS Bylanjaiah berkata, mangsa dilanggar kereta api ketika merakam gambar swafoto di atas landasan di bandar Bidandi di negeri Karnataka.

“Kami menemui mayat semua mangsa yang hancur di atas landasan. Polis juga menjalankan siasatan berkaitan kes ini,” katanya.

Ujarnya, mangsa meletakkan tiga motosikal mereka di tepi jalan raya sebelum berjalan turun ke landasan kereta api untuk merakam gambar.

Kejadian terbaru itu menambah jumlah kematian akibat swafoto di India yang dilaporkan sebagai tertinggi di dunia.

Satu kajian oleh Universiti Carnegie Mellon dan Institut Indraprastha untuk Maklumat Delhi mendapati daripada 127 kematian akibat swafoto yang dilaporkan di seluruh dunia dari Mac 2014 hingga September 2016, sebanyak 76 kes berlaku di India.

Pada bulan lalu, seorang lelaki di negeri Odisha mati dipijak gajah liar selepas cuba merakam swafoto dengan haiwan liar itu.

Pada November tahun lalu, tiga pelajar maut ketika mahu merakam swafoto di hadapan sebuah kereta api di utara India.

Seorang lagi pelajar India yang bergambar di hujung cerunan maut selepas cerunan itu runtuh menyebabkan dia jatuh.

Kejadian itu menyebabkan kerajaan pusat meminta setiap negeri meletakkan tanda amaran di lokasi tumpuan pelancong yang dianggap bahaya untuk merakam swafoto.

Di Mumbai pula, pihak berkuasa mengisytiharkan 16 zon larangan swafoto selepas beberapa kemalangan maut berlaku di situ.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.