Tiga Pemain JDT Dipanggil Pulang Kerana Keselamatan – TMJ

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menjelaskan tujuannya memanggil pulang tiga pemain Johor Darul Ta’zim II (JDTII) dari kem latihan skuad kebangsaan kerana mahu menjaga keselamatan mereka.

 

Menurut satu kenyaatan yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers, pemilik kelab bola sepak JDT itu berkata pihaknya akan melakukan apa sahaja untuk menjaga keselamatan pemain yang dianggap aset.

 

“Mengenai pemain JDT II kami, saya telah mengarahkan pemain-pemain tersebut untuk pulang kerana pemain-pemain muda ini adalah aset kelab kami.

 

“Kami yang membayar gaji mereka, dan kami akan melakukan apa sahaja untuk mengawal keselamatan aset kami ini dan menjaga kepentingan kami ini dengan sepenuh hati.”ujar baginda.

 

Selasa lalu, tiga tonggak JDT II, Zaquan Adha Abd Radzak, Irfan Fazail dan Darren Lok, hanya berpeluang menjalani satu sesi latihan bersama skuad kebangsaan sebelum dipanggil pulang ke kelab itu.

 

Surat yang dihantar JDT II menyatakan tiga pemain terbabit hanya akan dilepaskan empat hari sebelum perlawanan seperti yang termaktub dalam peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

 

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai pemain Singapura, TMJ berkata pihaknya membenarkan dua pemain senior melaporkan diri awal kerana mereka tidak akan menjadi sebahagian daripada projek kelab itu untuk masa akan datang.

 

“Saya mengucapkan terima kasih atas dedikasi dan profesionalisme mereka. Berkenaan Hariss Harun, saya berpeluang bercakap dengan jurulatih kebangsaan Singapura (V Sundramoorthy) dan meminta Hariss melaporkan diri pada 3 Oktober.

 

“Sundramoothy memberitahu saya bahawa ia tidak menjadi masalah. Amat menyedihkan untuk mengatakan bahawa saya mempunyai hubungan yang lebih baik dengan badan induk bola sepak dan kelab-kelab dari seluruh dunia berbanding dengan di negara saya sendiri.

 
“Saya tertanya-tanya mengapa? Saya akan biarkan untuk anda renungkan. Jadi, inilah kenyataan dari saya,”akhiri kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.