Kerbau Singgah Warung Minum Teh O Ais

BAGAN SERAI ― Seekor kerbau betina berumur dua tahun yang digelar Mek begitu menggemari teh O ais sejak berusia sembilan bulan lagi, kata pemiliknya.

 

Fikri Ezani Wan Chik, 34, berkata minuman itu pada mulanya untuk memujuk Mek, sewaktu baru dibeli, yang merajuk tidak mahu makan dan minum kerana dipisahkan daripada ibunya.

 

“Kebiasaannya kerbau meminati minuman air gula merah dan air garam, namun Mek tidak.

 

“Selepas pelbagai usaha dilakukan, akhirnya ia berjaya dipujuk dengan sebungkus teh O ais yang kebetulan saya beli untuk diminum sendiri,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

 

Mek sering berjalan sehingga satu kilometer untuk mendapatkan sendiri air kegemarannya di sebuah gerai makan di jeti nelayan Kampung Sungai Baru, Selinsing, di sini.

 

Gelagat ganjil kerbau itu mendapat perhatian masyarakat tempatan sebelum menjadi viral di laman media sosial baru-baru ini.

 

Pemilik gerai Jamilah Osman, 49, berkata Mek akan singgah ke kedainya dua kali sehari, kira-kira jam 10 pagi dan 5 petang, untuk menikmati air tersebut.

 

“Menariknya, Mek hanya berkunjung ke belakang premis perniagaan dan tidak datang ke bahagian hadapan untuk mengambil minuman kegemarannya,” katanya.

 

Keadaan itu, tambahnya, tidak menjejaskan perniagaan, sebaliknya menjadi tarikan penduduk. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.