ASEAN, Amerika Syarikat Waspada Ancaman Daish – Hishammuddin

KUALA LUMPUR – Ancaman ekstremis oleh kumpulan militan Daish khususnya pelampau yang pulang ke negara asal dan individu berfahaman radikal atau lone wolf menjadi agenda pada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri
Pertahanan ASEAN-Amerika Syarikat yang berakhir di Hawaii, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

 

Beliau berkata 10 menteri pertahanan ASEAN memaklumkan kepada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Ashton Carter bahawa mereka mengutuk keras kumpulan miltan Daish dan pertubuhan lain yang serupa.

 

Tambahnya, menurut Carter, bahawa kawasan yang diurus tadbir lemah di Asia Tenggara mungkin menjadi daya penarik untuk pelampau serantau yang kembali dari Iraq dan Syria.

 

“Kepulangan mereka menggalakkan ketidakstabilan dan mencetuskan rasa curiga dalam negara dan antara negara-negara jiran,” kata Hishammuddin dalam kenyataan, semalam.

 

Beliau berkata kaedah itu dibincangkan bagi menangani ancaman tersebut dengan meningkatkan sistem memintas mesej, keupayaan perkongsian maklumat, pembinaan kapasiti dalam penguatkuasaan undang-undang dan tentera, memperkukuhkan kedaulatan undang-undang serta keselamatan sempadan.

 

“Saya juga memberi taklimat kepada menteri-menteri mengenai inisiatif oleh polis Malaysia dalam hal ini, khususnya berhubung dengan penubugan pusat memintas mesej serantau,” katanya.

 

Hishammuddin berkata beliau turut menyampaikan pendirian perbadinya mengenai isu Laut China Selatan di mana insiden-insiden yang tidak dijangka dan tidak diingini di perairan atau ruang udara perlu dielak dengan apa cara jua.

 

Beliau menegaskan bahawa kawasan perairan itu merupakan laluan perkapalan dan perdagangan yang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara-negara di ASEAN, serantau dan seterusnya dan ia harus bebas, terbuka, selamat serta mudah digunakan untuk kepentingan komersial.

 

“Kita juga perlu mengelakkan sebarang peningkatan ketenteraan di perairan wilayah Laut China Selatan,” katanya.

 

Katanya beliau menekankan keperluan untuk meningkatkan usaha mengenai isu-isu berkaitan bantuan kemanusiaan dan bencana di rantau ini.

 

“Saya juga membangkitkan perkara berhubung dengan Kumpulan Tentera Simpanan ASEAN dengan mengulangi bahawa integrasi antara negara dan antara agensi perlu menumpukan kepada usaha berterusan dalam memberi respons terhadap cabaran-cabaran keselamatan serantau,” katanya.

 

Mesyuarat tiga-pihak peringkat menteri melibatkan Malaysia, Indonesia dan Filipina mengenai isu keselamatan di Lautan Sulu turut diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Amerika Syarikat itu.

 

Mengenai mesyuarat tiga-pihak itu, Hishammuddin berkata mereka bersetuju untuk mengkaji dan menilai semula kerjasama antara agensi dalaman negara dan juga kerjasama antara ketiga-tiga negara itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.