Misi Ke New York Berjaya, Media Asing Kecewa

NEW YORK – Usaha pihak-pihak tertentu menggembar-gemburkan berita negatif dalam blog dan portal berita serta mengetengahkan dakwaan-dakwaan liar melalui sesetengah akhbar di sini menjelang lawatan kerja sembilan hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diketepikan oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS), komuniti perniagaan dan para pemimpin antarabangsa yang berada di kota kewangan Amerika ini.

 

Najib yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa menteri Kabinet menamatkan lawatan kerja itu dengan kejayaan mengukuhkan persepsi positif komuniti perniagaan, di samping melonjakkan pandangan Malaysia mengenai isu-isu antarabangsa dalam pertemuan bilateral dan forum ketua-ketua negara dan kerajaan sempena Perhimpunan Agung PBB.

 

Perdana Menteri tiba di New York pada 23 September lalu dan berada di sini selama sembilan hari untuk lawatan kerja yang padat. Beliau berlepas ke Milan, Itali pada lewat petang 1 Oktober lalu bagi lawatan kerja seterusnya sebaik sahaja selesai menyampaikan ucapan perbahasan sesi ke-70 Perhimpunan Agung PBB.

 

Dalam sidang akhbar pada akhir lawatan kerjanya ke PBB dan New York di hotel penginapannya, Hotel Mandarin Oriental bersebelahan Central Park di sini, Najib menyifatkan pelbagai sektor dan pihak yang ditemuinya sepanjang lawatan itu menyambut baik pendirian Malaysia.

 

“Alhamdulillah, saya nampak pelbagai sektor menerima dengan positif pendirian Malaysia.

 

“Kalau dari sudut pentadbiran kerajaan AS, mereka melihat Malaysia mempunyai pendirian yang amat positif. Pertama, sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan Islam berasaskan wasatiyyah, mereka senang dengan pendirian kita.

 

“Kedua, kita menentang pertubuhan pengganas Islamic State, keganasan ekstremisme dan mereka menerima baik keputusan kita untuk menjadi sebahagian daripada pakatan antarabangsa menentang keganasan ekstremisme,” katanya.

 

Dalam lawatan kerjanya di sini, selain bertemu para pemimpin dunia di PBB, antara aturcara Najib adalah mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh komuniti perniagaan dan pelaburan Amerika.
 “Dari segi komuniti bisnes, saya lihat mesejnya positif.

 

“Mereka boleh membezakan antara berita-berita yang digembar-gemburkan melalui blog, menerusi beberapa berita dalam akhbar, dan pada hakikatnya mereka mengiktiraf kekuatan fundamental ekonomi, prospek Malaysia dan dasar mesra perniagaan kerajaan Malaysia,” tegas Najib.

 

Eksploitasi

 

Sehari sebelum Najib tiba di New York, dua buah akhbar, Wall Street Journal dan New York Times, yang kerap dieksploitasikan oleh sentimen propembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan telah menerbitkan berita negatif mengenai Malaysia.

 

Pada sidang akhbar itu Najib juga menyentuh mengenai TPPA iaitu perjanjian perdagangan yang sedang dirunding oleh blok negara-negara di rantau Asia Pasifik iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam. 
TPPA ialah perjanjian perdagangan bebas yang dirintis oleh kerajaan AS sejak tahun 2005 dan kini berada pada peringkat akhir rundingannya.

 

Menurut Perdana Menteri, komuniti perniagaan AS menyatakan bahawa mereka ingin memperluaskan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia, dan “atas sebab itu mereka berharap kita dapat memutuskan secara muktamad rundingan TPPA antara 10 buah negara dengan Malaysia”.

 

Ketika Najib berada di New York, mesyuarat TPPA juga berlangsung di Atlanta di negeri Georgia yang terletak 1,200 kilometer ke barat laut New York, dengan Malaysia diwakili oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

 

Wakil Perdagangan AS, Michael Froman yang juga terbabit dalam rundingan TPPA sempat mengadakan pertemuan singkat dengan Perdana Menteri di New York pada 28 September lalu dan foto pertemuan mereka dimuat naik dalam laman Facebook Najib.

 

Ditanya bilakah TPPA yang diharap-harapkan oleh komuniti perniagaan AS dapat dimuktamadkan, Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu, selepas mesyuarat di Atlanta, Mustapa akan membentangkan kepada Kabinet mengenai hasil perundingan tersebut.

 

“Jika Kabinet bersetuju, kita boleh beritahu kepada mereka persetujuan kita ataupun sebaliknya.
Apabila telah ada dokumen akhir perjanjian, kita kena bawa proses itu ke Parlimen. Saya sudah janji supaya Parlimen akan buat keputusan sama ada diterima atau tidak TPPA. Itulah langkah-langkah susulan yang perlu diambil.

 

“Tetapi sikap kita adalah untuk negara Malaysia menjadi lebih kompetitif, supaya kita tidak kehilangan daya tarikan kita, kalau kita tidak sertai TPPA, ada kemungkinan prospek kita akan lebih malap dari segi ekonomi.

 

“Cuma kita jangan sampai mengorbankan apa yang kita rasakan perlu dipertahankan untuk Malaysia dari segi agenda domestik kita,” kata Najib.

 

Menurut Perdana Menteri, tiga isu utama bagi Malaysia dalam rundingan TPPA ialah kepentingan agenda bumiputera, perusahaan negara dan kontrak pemerolehan kerajaan.

 

“Masih ada lagi beberapa isu yang belum diterima, tetapi pada prinsipnya kepentingan bumiputera nampaknya mereka telah terima bahawa agenda ini penting untuk Malaysia,” katanya.

 

Beliau melahirkan kegembiraan kerana hampir semua personaliti bisnes AS yang ditemuinya di New York menyatakan mereka amat berpuas hati dengan pelaburan mereka, potensi perniagaan, layanan yang mereka terima dan juga insentif daripada Malaysia.

 

“Mereka yakin bahawa pelaburan mereka akan mendatangkan pulangan yang memuaskan, dan ada juga yang berharap mereka akan mengembangkan lagi pelaburan di Malaysia.

 

“Mereka menerima hasrat dan langkah kita untuk melakukan lebih banyak hubungan dengan komuniti bisnes di AS,” katanya.

 

Pada asasnya, tegas Najib, komuniti bisnes di negara ekonomi terbesar dunia itu menghargai kestabilan di Malaysia dan kesinambungan dasar-dasar kerajaan.

 

Beliau menambah: “Mereka mengakui bahawa di Malaysia kerajaannya mesra perniagaan. Inilah antara pandangan positif yang mereka sebut kepada saya.” – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.