69 Rakyat Malaysia Sertai Militan IS

SHAH ALAM – Seramai 69 rakyat Malaysia dikesan berada di Syria kerana menyertai kumpulan militan IS.

 

 

Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah tersebut, 12 daripadanya adalah wanita dan 57 orang lelaki.

 

 

Menurutnya, penglibatan kaum wanita dalam kumpulan militan itu juga semakin membimbangkan.

 

 

“Golongan wanita ini sanggup menggadai masa depan semata-mata ingin berkahwin dengan orang mujahidin.

 

 

“Mengikut fahaman mereka, apabila berkahwin dengan golongan mujahidin, mereka juga akan mendapat pahala orang jihad, sama seperti orang yang berjihad,” katanya, semalam.

 

 

Beliau berkata demikian selepas menyampai ceramah pada Seminar Kebangsaan Pemikiran Islam Semasa, Kefahaman Islam di Malaysia Realiti dan Cabaran, di sini.

 

 

Pada seminar tersebut, Ayob menyampaikan penerangan ceramah bertajuk ‘Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), Jihad di Timur Tengah dan Penglibatan Rakyat Malaysia.

 

 

Menurutnya, wanita dan gadis IS memainkan peranan dalam propaganda, merekrut dan menyebarkan ideologi, selain melahirkan generasi kedua atau pelapis kepada kesinambungan Negara Islam.

 

 

Bagaimanapun Ayob berkata, setakat ini tiada golongan wanita tempatan yang terlibat di barisan hadapan sama ada dalam peperangan mahu pun sebahagian daripada pengebom berani mati.

 

 

“Kebanyakan wanita ini direkrut sebagai tenaga pengajar atau tukang masak. Antaranya seorang remaja perempuan berusia 16 tahun bertindak sebagai pengajar Bahasa Inggeris di pusat-pusat latihan yang dibina seperti tadika.

 

 

“Ada juga menjadi tukang masak di kem-kem latihan. Itu peranan wanita di sana. Kebanyakan mereka berusia antara 20 hingga 30 tahun,” katanya.

 

 

Jelasnya, polis percayai terdapat kira-kira 100 warganegara ini yang berada di Syria.

 

 

Setakat ini, 10 keluarga dari Malaysia dikenal pasti berada di sana, manakala angka korban rakyat Malaysia di Syria seramai 14 orang.

 

 

“Berdasarkan statistik tangkapan, Polis Diraja Malaysia berjaya memberkas seramai 123 termasuk 23 wanita orang sejak Februari 2015. 16 daripada 123 yang ditahan adalah warga asing.

 

 

“Masalah sosial adalah antara punca penglibatan mereka dalam IS. IS dijadikan sebagai platform untuk mereka melepaskan diri dari pelbagai masalah,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.