Umat Islam Perlu Hayati Sambutan Korban, Kenang Pengorbanan Nabi Dan Rasul – Tan Sri Muhyiddin

Kuala Lumpur – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata umat Islam di negara ini perlu menghayati sambutan Aidiladha atau Hari Raya Korban yang disambut esok, dengan sentiasa patuh dan taat terhadap perintah Allah SWT.

Beliau berkata, umat Islam mestilah sentiasa patuh dan taat kepada segala titah perintah Allah SWT sepertimana patuh dan taatnya Nabi Ibrahim A.S dalam peristiwa pengorbanan Nabi Ismail A.S.

“Ketaatan kita kepada perintah Allah SWT hendaklah dizahirkan dengan cara menjunjung syariat Islam yang terkandung di dalam Al-Qur’an dan Al-Sunnah dan menjadikan ajaran Islam yang syumul sebagai cara hidup kita.

“Semoga kita semua akan dapat mencontohi sifat kehambaan dan ketakwaan kepada Allah SWT seperti yang telah ditunjukkan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Aidiladha, di sini, hari ini.

Beliau berkata, umat Islam perlu bersama-sama mengenang harga sebuah pengorbanan yang ditunjukkan oleh nabi dan rasul terdahulu terutama Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Muhyiddin berkata, ibadah korban yang dilaksanakan adalah lambang semangat pengorbanan yang perlu ada pada setiap umat Islam, yang akan memperoleh keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat.

Katanya, ibadah itu juga adalah tanda mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

“Ia juga memperingatkan kita tentang rezeki yang dikurniakan olehNya, agar umat Islam lain yang kurang berkemampuan dapat sama-sama berkongsi kenikmatan yang diperolehi,” katanya.

Muhyiddin bersama-sama keluarganya yang kini berada di tanah suci Makkah untuk mengerjakan ibadah haji turut mendoakan agar Malaysia sentiasa dilimpahi dengan nikmat kemakmuran dan keamanan, dimurahkan rezeki dan dijauhi daripada segala musibah dan bala bencana.

“Semoga anda semua senantiasa dikurniakan nikmat kesihatan, dimurahkan rezeki dan dirahmati Allah SWT. Selamat Hari Raya Idul Adha daripada saya sekeluarga buat seluruh umat Islam di Malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.