Protes Harga Minyak Naik, Gagal Dapat Sambutan

Kuala Lumpur – Desas-desus berhubung satu perhimpunan bagi membantah kenaikan harga minyak di Dataran Merdeka hari ini tinggal menjadi khabar angin, tanpa kehadiran mana-mana peserta.

Tinjauan SuaraTV di lokasi petang tadi mendapati tiada seorang peserta pun yang muncul mengambil bahagian dalam perhimpunan yang telah disebarkan menerusi laman sosial Facebook sejak pada hari pengurangan subsidi petrol dan diesel sebanyak 20 sen.

Namun, seramai kira-kira 50 orang petugas media tetap hadir untuk membuat liputan, dan akhirnya terpaksa berteduh di Bangunan Sultan Abdul Samad ketika hujan lebat melanda Kuala Lumpur petang ini.

Selain itu seramai 50 orang petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut hadir dan berkawal di kawasan yang digembar-gembur sebagai lokasi perhimpunan tersebut petang ini.

Himpunan Naik Minyak 2

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sementara itu puluhan pelancong juga dilihat meluangkan masa melawat kawasan tumpuan tersebut dengan dikawal pihak berkuasa.

Tinjauan di sekitar Dataran Merdeka juga mendapati tiada kelihatan peserta perhimpunan dan keadaan di kawasan tersebut adalah seperti biasa dan dikawal rapi anggota polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Khabar angin mengenai perhimpunan yang dikatakan akan berlangsung jam 4 petang itu tersebar di media sosial, sehari selepas pengumuman kenaikan harga minyak oleh kerajaan pada 1 Oktober.

Setakat ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan berkenaan namun polis semalam berkata perkara itu akan disiasat.

Rabu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengumumkan kenaikkan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter, menjadikan harga runcit baru bagi RON 95, RM2.30 manakala diesel RM2.20.

Kenaikan yang didakwa tidak adil dan tidak kena pada masa ketika harga minyak mentah dunia jatuh ke paras terendah dalam tempoh tiga tahun ini mendapat rasa tidak puas hati rakyat pelbagai lapisan.

Ekoran pengumuman oleh pihak kerajaan itu, pemimpin pembangkang terutamanya menyuarakan bantahan keras dan pelbagai pihak NGO turut membantah tindakan pihak kerajaan itu.

Terdahulu polis memaklumkan tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menganjurkan perhimpunan membantah kenaikan harga petrol yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Rasdi Ramli berkata pihaknya juga tidak mengetahui siapa penganjur sebenar untuk perhimpunan itu.

“Tiada sebarang permohonan dibuat oleh mana-mana pihak untuk menganjurkan perhimpunan itu seperti yang tertakluk di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Bagaimanapun polis sentiasa dalam keadaan bersiap-sedia dan memantau keadaan di sekitar Dataran Merdeka sekiranya perhimpunan itu berlangsung,” katanya hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.