Najib Hadir Majlis Tahlil, Solat Jenazah Allahyarhamah Tun Suhailah

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Masjid Negara kira-kira 1.04 tengah hari tadi bagi menghadiri majlis tahlil dan solat jenazah Allahyarhamah Tun Suhailah Mohamad Noah.

Najib sebelum ini turut merakamkan ucapan takziah kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas pemergian bondanya itu.

Beliau dalam status terbarunya dalam laman Facebook, berkata beliau turut berkongsi kesedihan dengan kehilangan Tun Suhailah, yang juga merupakan ibu saudaranya.

“Saya dikejutkan dengan berita pemergian ibu saudara saya Tun Suhailah Mohd Noah, bonda kepada Hishammuddin Hussein, awal pagi ini.

“Salam takziah kepada Hishammuddin Hussein dan keluarga, saya turut berkongsi kesedihan. Semoga roh Allayarhamah ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” kata beliau.

Tun Suhailah, 82, balu kepada Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, Tun Hussein Onn, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara.

Allahyarham Suhailah adalah ibu kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussin yang juga ibu saudara kepada Najib.

Sementara itu suasana pilu menyelubungi kediaman Allahyarhamah Tun Suhailah Tan Sri Mohd Noah, bonda kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Bukit Tunku di sini, pagi tadi, sementara menunggu jenazah disembahyangkan.

Beberapa tetamu kehormat, menteri kabinet dan orang kenamaan turut hadir memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah Allahyarhamah dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada tengah hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat menziarahi jenazah Allahyarhamah.

Antara tetamu kenamaan lain yang hadir ialah isteri bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Kamunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Turut kelihatan, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dan Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Majlis tahlil serta solat jenazah diadakan terlebih dahulu sebelum jenazah dibawa ke Masjid Negara kira-kira jam 12 tengahari ini untuk dikebumikan.

Solat jenazah diimamkan oleh bekas Imam Besar Masjid Negara yang juga Pegawai Khas Menteri Pertahanan, Datuk Pirdaus Ismail.

Allahyarhamah yang juga balu kepada Perdana Menteri ketiga kembali ke rahmatullah pada jam 12.30 pagi tadi di Hospital Pakar KPJ Damansara akibat sakit tua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.