Selfie: Kaabah Bukan Menara Eiffel

Kuala Lumpur – Pandangan ulama Arab Saudi yang menegah jemaah haji dari mengambil mengambil gambar sendiri atau ‘selfie’ sewaktu sedang beribadah mengundang pelbagai reaksi media sosial.

Sebilangan pengguna media sosial berpandangan‎ tiada salahnya mengabadikan kenangan ketika berada di Tanah Suci Mekah kerana peluang berkenaan julung-julung kalinya dapat dirasai sebagai umat Islam.

“Kaabah bukan Menara Eiffel. Tidak mengapa selfie tetapi biarlah bersederhana‎,” kata Ismael Zinki di Twitter.

“Tidak mengapa asalkan tidak menghabiskan seluruh perjalanan dengan selfie. Maksud saya ambillah gambar tetapi bukan semasa manasik,” katanya memberikan komen kepada Muslim Matters di Twitter.

Ulama terkenal Jeddah Sheikh Abdul Razzaq Al-Badr pada Selasa menasihati jemaah haji agar tidak melakukan ‘selfie’ semasa sedang beribadah sebaliknya menunaikan segala manasik haji dengan sempurna.

Katanya, ‎Allah memerintahkan jemaah haji supaya menunaikan ibadah tanpa riak dan tidak menghebahkan kepada orang ramai.

“Ketika Rasulullah tiba di miqat, baginda bersabda ‘Allah memerintahkan ibadah haji dilakukan tanpa riak dan tidak dihebahkan kepada orang ramai’,” katanya seperti dilaporkan Arab News.

Razzaq berkata perbuatan ‘selfie’ jemaah haji seolah-olah menunjukkan tujuan mereka datang ke Mekah adalah untuk mengambil gambar dan bukan untuk beribadah.

Katanya, “selfie” jemaah haji dibuat dengan pelbagai gaya termasuk seperti sedang berdoa merendah diri namun selepas gambar dirakamkan, mereka menurunkan tangan semula.

“Jemaah haji sekarang gemar mengambil gambar apabila tiba di miqat. Bukan setakat itu, mereka juga mengambil gambar semasa melakukan tawaf, semasa bermalam di Padang Arafah serta ketika melontar jamrah.

“Apabila mereka pulang, mereka akan berkata ‘Mari lihat gambar saya ketika saya berada di Arafah, ini pula gambar saya semasa berada di Muzdalifah,” katanya kepada Arab News.

Bagaimanapun, tidak semua berpandangan perbuatan “selfie” ketika berada di tanah suci sesuatu yang disambut baik semua jemaah terutamanya kepada mereka yang khusyuk menunaikan ibadah.

Pengguna Twitter menerusi Muslim Matters berkata “selfie” yang dilakukan jemaah haji sudah tersasar dari objektif sebenar Rukun Islam kelima itu yang disifatkan sebagai pengabdian kepada Allah dan penyucian kepada dosa-dosa yang lalu.

“Ia mengganggu ketenangan dan tidak menepati tujuan ke sana,’ kata @StrangerEarth di Twitter.

“Walaupun saya mahu ‘selfie’ di balik Kaabah, namun ia akan mengalih saya dari objektif asal,” kata seorang pengguna Twitter dengan nama Ba’Luqman.

“Haji satu ibadah yang mengatasi diri. ‘Selfie’ Haji bukan tujuan untuk ke sini,” kata Asli Sirin menerusi laman sosial itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.