Jenazah Allahyarham Tun Suhailah Selamat Dikebumikan

Kuala Lumpur – Jenazah Allahyarham Tun Suhailah Mohamad Noah, bonda kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selamat dikebumikan di perkarangan Makam Pahlawan, Masjid Negara dengan penuh istiadat penghormatan negara selepas solat Zohor tadi.

Allahyarham yang juga isteri Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.30 pagi tadi di Hospital Pakar KPJ Damansara akibat sakit tua.

Terdahulu, orang ramai diberi peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Dewan Solat Utama Masjid Negara sebaik saja keranda Allahyarham dibawa dari kediamannya di Bukit Tunku.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga anak saudara Allahyarham, tiba di Masjid Negara pada jam 1.04 tengah hari tadi bagi memberi penghormatan terakhir sambil diiringi anak lelaki Allahyarham, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta ahli keluarga terdekat.

Antara tetamu kehormat lain yang hadir pada majlis penghormatan terakhir dan solat jenazah itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan serta beberapa menteri kabinet.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Majlis tahlil dan solat jenazah diketuai serta diimamkan oleh Timbalan Imam Besar Masjid Negara, Mohamad Mohd Zin sebelum keranda Allahyarham diusung ke perkarangan Makam Pahlawan untuk dikebumikan.

Allahyarham sebelum ini pernah menerima anugerah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’ – Kerajaan Persekutuan (1990) dan Anugerah Sri Kandi dari Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM).

Allahyarham adalah kakak kepada Tun Rahah, iaitu ibu kepada Najib.

Bapa Allahyarham, Tan Sri Mohammad Noah Omar adalah bekas Speaker Dewan Rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.