Jangan Cabar Pemimpin Islam, Kata Isma Kepada Gerakan

Kuala Lumpur – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini memberi amaran kepada Gerakan untuk tidak mencabar kepimpinan Islam di Malaysia selepas kenyataan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu yang meminta rakyat Malaysia menghentikan rasa takut dan tidak mencipta musuh “khayalan” sekiranya ingin terus maju.

Presiden Isma Abdullah Zaik Abd Rahman menyelar Gerakan dengan berkata parti itu tidak sepatutnya melabel sesuatu individu dengan kata-kata yang ekstrem kerana ia hanya menyebabkan Malaysia menjadi negara mundur.

Zaik yang selalu mencetuskan kontroversi dengan kenyataan ekstremnya itu berkata musuh Islam dan musuh orang Melayu bukan khayalan mahupun imaginasi, sebaliknya ia akan dibuktikan pada masa akan datang.

“Gerakan juga sepatutnya tidak melabel orang lain dengan label ekstrem kerana perbezaan pendapat kerana itu tidak membantu memperkukuhkan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia,” katanya.

Semalam Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong meminta rakyat Malaysia menghentikan rasa takut dan tidak mencipta musuh khayalan untuk bergerak maju ke hadapan sebagai sebuah negara.

“Kita mesti berhenti daripada terus mewujudkan musuh khayalan yang tidak pernah ada dan terus kekal berpadu sebagai rakyat Malaysia.

“Berhenti memenjarakan diri kita dengan idea ketakutan sehingga wujudnya perasaan berlawan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini sebuah video bertajuk Pewaris Bangsa dimuat naik melalui laman YouTube Isma sebagai tanda sokongan terhadap perbicaraan mengikut Akta Hasutan 1948 terhadap presiden Isma pada 13 dan 15 Oktober.

Zaik didakwa mengikut Seksyen 4(1) dan Seksyen 4(1) (b) ekoran kenyataan melabelkan kaum Cina sebagai penceroboh yang dibawa British pada 6 Mei lepas.

Pada masa sama Zaik berkata, meskipun menyambut baik keputusan Gerakan yang mahu menggunakan slogan 1Malaysia sebagai tema perhimpunan tahunan, namun Isma tetap memberi amaran agar slogan itu harus dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas.

Katanya Gerakan sepatutnya tidak mengambil kesempatan ke atas slogan tersebut dan ia mesti selaras dengan pendirian BN untuk tidak lagi mempertikaikan dan menyentuh sensitiviti dan hak umat Islam.

“Jangan hanya ambil kesempatan daripada 1Malaysia. Laksanakan dengan jujur dan ikhlas. Jangan jadi seperti sesetengah parti yang hanya menggunakan slogan 1Malaysia untuk memperjuangkan kepentingan kaum tertentu saja.

“Saya mahu lihat pendirian Gerakan yang menjunjung Perlembagaan dengan tidak lagi mempertikai hak dan menyentuh sensitiviti umat Islam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.