Ika Tidak Kisah Nama Tidak Gah, Asalkan Laris Di Pasaran

Petaling Jaya – Nama Ika Nabella mungkin tidak segah pelakon popular lain namun pelakon yang mencipta nama menerusi pertandingan Akademi Fantasia musim keenam (AF6) ini tetap meneruskan survival seninya dengan cara tersendiri.

Biar pun kerap menjadi pilihan produksi dan stesen tv untuk membintangi sesebuah drama mahupun telefilem, popularitinya masih dianggap berada pada tahap biasa.

Enam tahun berlalu menceburi dunia seni, Ika sudah biasa dengan senario sebegitu.

Katakan apa saja mengenai dirinya termasuk pernah dihimpit pelbagai kontroversi, Ika antara nama yang laris di pasaran.

Beberapa dramanya disiarkan di TV3 secara bertali arus seperti Kerana Terpaksa Aku Relakan, Rindu Awak 200% dan kini Maaf Jika Aku Tak Sempurna.

“Kadang-kadang tipulah kalau saya tak kecewa selepas sekian lama apabila ada pihak yang seperti belum sedar kewujudan saya. Tapi biasalah, ada yang hanya memandang pada ukuran popular saja terhadap mana-mana pelakon.

“Namun seiring dengan peredaran masa, saya jadi lebih matang. Saya percaya untung nasib seseorang di arena seni ini bergantung kepada rezeki, tuah dan populariti. Tapi kalau semua itu belum datang pada diri ini, saya masih bersyukur kerana masih ada ruang berkongsi bakat,” katanya.

Tambah Ika lagi, beliau sesekali mempersoalkan apa yang tak kena lagi dengan dirinya sehingga belum mampu menembusi perhatian ramai pihak.

“Saya sedar ada anak seni yang boleh naik cepat tak sampai setahun dua. Itu rezeki masing-masing. Tapi saya yang lambat naik haruslah terus positif. Biarlah saya lambat naik… lambat jatuh. Cukup orang berpuas hati dengan apa yang saya persembahkan,” katanya.

Dalam pada itu, biar pun pernah mendapat tawaran melakonkan watak utama, Ika pelik kerana lebih banyak watak pembantu yang lebih menyerlahkannya.

Malah apabila semakin dilihat beliau selesa berlakon, Ika tidak pernah meninggalkan kerjaya nyanyian yang diminatinya.

“Saya pun tak tahu apabila karakter sampingan yang dilihat menangkap perhatian ramai setiap kali berlakon berbanding watak utama. Tak apalah sebagai pelakon, saya lakukan apa saja yang mampu untuk menghidupkan watak.

“Dunia nyanyian masih saya penuhi, selalunya saya ada tawaran menyanyi pada hujung minggu. Menyanyi tetap di hati biarpun saya dilihat lebih banyak menerima tawaran berlakon,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.