Ibu Rayu Anak Perempuan Merajuk Pulang Ke Rumah

Alor Setar – Ibu seorang remaja perempuan yang menghilangkan diri dari rumah mereka di Jalan Kota Tanah, Taman Bahagia di sini sejak 30 Sept lalu merayu agar anaknya segera pulang.

N.Sithira Devi, 46, berkata anaknya Khor Yi Qian, 16, yang merupakan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sharifah Rodziah melarikan diri dari rumah kerana merajuk dengan keluarganya.

“Berlaku salah faham selepas telefon bimbitnya dirampas pihak sekolah. Dia meminta saya untuk pergi berjumpa gurunya untuk mendapatkan semula telefonnya.

“Dua kali saya pergi ke sekolahnya, namun gurunya itu tidak ada. Mungkin kerana saya tidak berjaya mendapatkan semula telefonnya, dia beranggapan saya tidak peduli tentang dirinya,” katanya.

Beliau berkata pada petang sebelum anaknya menghilangkan diri, beliau melihat anaknya seperti sedang menunggu seseorang, tetapi tidak mengesyaki apa-apa sehingga kemudiannya menyedarinya anaknya sudah tidak berada di dalam rumah.

“Sebelum keluar, dia ada memeluk kakaknya dan ambil RM50 dari dompet kakaknya. Dia juga meninggalkan surat kepada ayahnya, memberitahu dia kecewa dengan kami yang tidak memberi peluang kepadanya untuk berubah.

“Dalam surat itu, dia kata dia akan pergi jauh. Saya menghubungi seorang rakannya, tetapi rakannya itu juga tidak tahu ke mana anak saya pergi,” kata Sithira.

Beliau berkata mereka telah membuat laporan polis Khamis lalu.

Ketua Skuad Rondaan Keselamatan (CRSM) Alor Setar, Daniel Tan berkata pihaknya yang turut menerima aduan daripada keluarga itu turut mencari remaja berkenaan, namun belum berhasil menemuinya.

CRSM boleh dihubungi di talian 010-5652011.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.