DAP Kedah Mahu Pengesahan Rasmi Ros Status Mesyuarat Agung

Alor Setar – DAP Kedah menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) membuat kenyataan rasmi tentang status mesyuarat agung tahunannya yang diadakan pada 11 Julai lalu bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan anggotanya.

Setiausaha Organisasi DAP Kedah Law Theng Hooi berkata, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada ROS berhubung perkara itu selepas mesyuarat selesai diadakan, namun hingga kini masih belum menerima maklum balas.

“Ramai ahli DAP Kedah berada dalam kekeliruan, jadi kami mahukan kenyataan hitam putih daripada ROS. Sekarang DAP di Kedah ada kembar siam, satu pihak kami dan satu lagi DAP Interim,” katanya pada sidang media di Pejabat DAP Kedah, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memahami kemungkinan ROS mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan kenyataan rasmi, namun keputusan sama ada mesyuarat agung tahunan itu sah atau tidak perlu diketahui segera.

Sementara itu katanya, kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng baru-baru ini yang mengatakan bahawa kemelut DAP Kedah telah selesai, adalah tidak tepat.

“Macam mana boleh selesai kemelut ini kerana ROS tidak memberi sebarang pengesahan mengenai status mesyuarat agung tahunan pada 11 Julai lalu dan kami tidak akan bubarkan DAP Kedah selagi ROS tidak mengeluarkan sebarang kenyataan,” kata Law.

Beliau berkata perkara berkenaan harus diselesaikan segera bagi menjaga nama baik parti dan kepentingan anggotanya.

Dalam perkembangan lain, beliau juga meminta ROS menyiasat penglibatan 120 cawangan DAP yang didakwa tidak berdaftar, tetapi mengundi pada pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti pada 29 Sept 2013.

“Mengikut laporan media, ada 865 cawangan pada pemilihan awal, tetapi dalam pemilihan semula, terdapat 985 cawangan yang terlibat, iaitu pertambahan sehingga 120 cawangan,” katanya.

Baru-baru ini, bekas Anggota Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mendakwa sebanyak 120 cawangan DAP yang masih belum mendaftar telah hadir dan mengundi pada pemilihan semula CEC DAP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.