Bekas EXCO PAS Dakwa, Jawatan Penasihat Ekonomi Selangor Telah Dihapuskan

Shah Alam – Sekiranya Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mahu mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri itu, beliau perlu mengikut prosedur pelantikan semula jawatan itu.

Menurut bekas Exco Selangor Sallehen Mukhyi, mesyuarat akhir yang dihadiri beliau bersama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah memutuskan untuk menutup pejabat tersebut sekali gus menghapuskan jawatan berkenaan.

“Sekiranya menteri besar baru berkehendakkan kepada sesiapa atau penasihat ekonomi yang lama maka menteri besar baru boleh buat pelantikan semula dan pejabat boleh diberikan semula.

“Seingat saya memang MB ketika itu menyebut bahawa oleh kerana jawatan Penasihat Ekonomi itu dipilih oleh MB, jadi MB akan memberikan pejabat di SUK.

“Oleh kerana pada masa itu jawatan Tan Sri Khalid Ibrahim akan berakhir, penasihat ekonomi yang ada itu diberhentikan dan pejabat juga ditutup,” jelasnya ketika dihubungi.

Terdahulu, bekas Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Husin menegaskan khidmat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor ditamatkan berkuatkuasa September.

Menurut orang kanan Khalid yang diketahui mempunyai hubungan dingin dengan Azmin, mesyuarat exco yang dipengerusikan Khalid memutuskan untuk memansuhkan jawatan itu dan pejabat berkenaan ditutup.

Namun, Azmin membela Ketua Umum PKR itu dan menegaskan bahawa Anwar masih penasihat ekonomi negeri.

Beliau juga menyelar Faekah sebagai tidak layak untuk memutuskan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim di negeri itu.

Sallehen yang juga ADUN Sabak berkata, semua keputusan sama ada jawatan itu diwujudkan semula adalah bergantung kepada kuasa MB baru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.