Banjir Kilat, Air Sedalam 0.09m Punca Kesesakan Lalu Lintas

Pulau Pinang – Beberapa kawasan di sini dilanda banjir kilat yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas selepas hujan turun berterusan sejak pukul 6 petang.

Antara kawasan yang terbabit ialah Jalan Transfer, Jalan Gurdwara, Jalan Macalister, Jalan Anson, Jalan Scotland dan Jalan Mount Erskine.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, paras air dianggarkan antara 0.3m hingga 0.9m.

“Ukuran hujan yang turun di Bukit Bendera, Batu Lanchang dan Sungai Pinang antara 51.5mm hingga 71.5mm,” kata beliau dalam mesej pesanan ringkas kepada media di sini hari ini.

Tinjauan Bernama di beberapa jalan di sini mendapati beratus pengguna kenderaan bergerak perlahan mengharungi banjir dengan sesetengah tempat dinaiki air sehingga paras lutut.

Bagaimanapun, sehingga pukul 11 malam banjir masih belum surut tetapi tiada kejadian tidak diingini dilaporkan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.