Najib Cabar Kerajaan PH Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja Buktikan Tuduhan RM16 Bilion Hilang

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kehilangan wang tuntutan bayaran balik Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM16 bilion.

Menerusi entrinya Facebooknya hari ini, Najib berkata, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng seolah-olah mengaku tidak faham sistem perakaunan kerajaan apabila mendakwa wang tuntutan balik LHDN sebanyak RM16 bilion masih ‘hilang’.

Katanya, bukan semua tuntutan balik kepada LHDN oleh pembayar cukai semestinya diluluskan serta-merta kerana perlu diaudit untuk kesahihan mengikut undang-undang oleh lembaga percukaian tersebut.

“Berhentilah mahu menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lama oleh kerana kelemahan pentadbiran sendiri.

“Lebih baik jika prosiding Jawatankuasa Kira-kira Parlimen (PAC) atau RCI diadakan secara telus untuk mencari kebenaran. Ini soal RM35.4 bilion termasuk RM19.4 bilion cukai jualan dan perkhidmatan (GST)). Takkan isu ini tidak layak dijalankan RCI ataupun PAC untuk mencari kebenaran secara telus,” katanya.

Guan Eng semalam memberitahu, sebanyak RM16 bilion cukai yang tidak dibayar balik tetap hilang daripada Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) sama ada kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai terubah atau sistem akruan.

Sementara itu, Najib berkata, mengikut penyata akaun Akauntan Negara bagi akhir 2017, kedudukan kumpulan wang disatukan kerajaan pusat adalah sebanyak RM42.184 bilion (2016: RM39.37 bilion) iaitu RM18.064 bilion dalam bentuk wang tunai dan simpanan tetap (FD) jangka pendek dan RM24.12 bilion dalam Pelaburan Kumpulan Wang Amanah dan Pelaburan Am.

Katanya, fakta-fakta itu boleh diakses Guan Eng memandangkan beliau adalah Menteri Kewangan.

“Saya juga tidak faham mengapa Guan Eng perlu masa tiga bulan setengah untuk menyedari bahawa RM16 bilion wang LHDN sudah ‘hilang’ dan hanya membangkitkan isu ini selepas menyedari bahawa kerajaannya sudah berkurangan hasil sebanyak RM31 bilion oleh kerana tiga bulan pengecualian cukai dan pungutan hasil SST bakal jauh lebih rendah dari GST.

“Besar kemungkinan kerajaan PH sudah menggunakan sebahagian besar dari kumpulan wang disatukan sebanyak RM42.184 bilion yang kerajaan BN tinggalkan bagi menampung kerugian atau kelompongan ketika tax holiday dan kini mahu menuding jari dan mempersalahkan kerajaan BN dahulu,” tegasnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.