Wanita Diragut Ketika Sedang Makan Direstoran

JOHOR BAHRU – Hajat seorang wanita untuk bersarapan terbantut apabila beg tangannya diragut dua lelaki dalam kejadian di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Permas 9/3, Bandar Baru Permas Jaya, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Rupeah Abdul Wahid berkata, dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, mangsa berusia 58 tahun yang berseorangan sedang menunggu pesanan makanan sambil memegang telefon bimbit.

“Secara tiba-tiba datang seorang lelaki bertopi keledar dan terus mengambil beg tangan yang diletakkan di sebelah mangsa.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah motosikal bersama-sama seorang lagi lelaki yang sedia menunggu di luar restoran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rupeah berkata, susulan kejadian, mangsa kerugian RM400 dan dokumen peribadi yang lain.

Video kejadian berdurasi 17 saat yang diambil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran berkenaan turut tular dalam laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.