Ukir Corak Pada Kuda

Sejak berusia 12 tahun, wanita itu, Meloody Hamer yang kini berusia 27 tahun telah melakukan tugas sebagai jurudandan dengan membuat corak pada badan kuda menggunakan mesin pencukur rambut.

Menurut wanita yang berasal dari Lancashire, England itu, kali pertama dia membuat corak pada badan kuda adalah sewaktu berusia 12 tahun.

“Saya terpaksa mencukur bulu pada badan kuda jenis pony kerana ketika itu, ia mengalami masalah bulu dan ia kelihatan sangat buruk,” tutur Hamer, lapor Kosmo.

Namun begitu, selepas mencukur bulu pada badan kuda itu, dia mendapati terdapat be­­be­­rapa corak me­narik yang terhasil dengan sendiri dan mendapat idea untuk menghasilkan corak pada badan kuda yang lain.

Sejak daripada itu, Hamer telah mencukur bulu beberapa ekor kuda milik keluarganya dengan menghasilkan rekaan corak yang ringkas kerana belum cukup mahir.

Buka syarikat

Melihat pada keunikan yang dihasilkan, beberapa orang jirannya turut berminat untuk membuat corak pada badan kuda mereka dan telah memberi upah kepada Hamer untuk melakukannya.

Sehinggalah pada tahun 2013, Hamer telah membuka syarikat mencukur bulu kuda miliknya, JMC Equestrian dengan menjalankan perniagaan mendandan kuda.

Pekerjaan Hamer sebagai jurudandan kuda semakin mendapat perhatian apabila ramai pemilik kuda yang menyertai sukan ekuestrian mendapatkan khidmatnya untuk menghasilkan corak pada badan kuda ketika menyertai pertandingan.

Kata Hamer, rekaan corak paling rumit yang pernah dia hasilkan adalah corak berbentuk perisai yang digunakan semasa zaman pertengahan dan rekaan bermotifkan istana lama.

“Saya tidak merujuk pada mana-mana gambar sebagai contoh sebaliknya hanya menggunakan daya imaginasi dengan melihat sesuatu objek dan terus mengukirnya pada badan kuda,” katanya.

Selain menggunakan mesin pencukur rambut, Hamer turut menggunakan beberapa peralatan lain seperti gunting dan pisau pencukur untuk menghasilkan corak dengan rekaan yang lebih halus.

Imaginasi

Untuk menyiapkan corak pada badan seekor kuda, Hamer akan memperuntukkan masa antara 30 minit hingga sembilan jam bergantung kepada kesukaran corak yang diminta pe­langgannya.

Semasa mencukur bulu pada badan kuda, ia perlu dibuat dengan berhati-hati supaya tidak menyakitkan atau membuatkan haiwan itu terkejut.

“Besar kemungkinan saya akan ditendang oleh kuda tersebut,” jelas Hamer.

Kebiasaannya, pelanggan akan memberikan idea mereka sendiri berdasarkan corak yang diinginkan seperti bentuk sarang lebah dan Hamer cuma memerlukan imaginasi untuk menghasilkannya.

Namun begitu, rekaan corak berbentuk hati dan haiwan paling ba­nyak mendapat permintaan dan kebanyakan pelanggan sangat berpuas hati dengan hasil yang dibuat.

Terbaharu, Hamer ingin menghasilkan rekaan corak berbentuk ketenteraan dan akan cuba untuk membuatnya dalam masa terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.