Pandangan Rafizi Tak Penting, Kata Pemimpin PKR

SHAH ALAM – ‘Pandangan Rafizi tidak penting’, kata Ahli Biro Politik PKR, R Sivarasa mengulas dakwaan Naib Presiden parti itu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara, mendapat maklumat terhad daripada peguamnya bersabit isu rundingan bersama PAS.

Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang menambah apa yang penting, semua pihak menghormati panduan yang sudahpun disebut Anwar dalam kenyataan yang dikeluarkannya, pada Sabtu.

“Bagi saya pandangan YB Rafizi sebagai pihak ketiga bukan penting, atau mana-mana pemimpin lain. Seperti saya sebut tadi, kita hormati panduan Datuk Seri Anwar sebagai Ketua Umum Keadilan (PKR) dan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH). Kita akan ikut (kenyataan) itu,” katanya kepada Antarapos.

Rafizi dalam kenyataannya semalam menyebut bahawa Anwar terbatas untuk memperoleh maklumat terkini ekoran berada di penjara, malah maklumat tersebut lebih ‘meruncing’ apabila satu-satunya saluran itu adalah barisan peguamnya yang mendokong kerjasama PKR-PAS.

Rafizi memetik nama tiga peguam yang dimaksudkannya iaitu Latheefa Koya, N Surendren dan Sivarasa sendiri.

“Dengan keterbatasan yang beliau ada kerana terpenjara, pandangan Datuk Seri Anwar selama ini pun (dalam sesuatu perkara) memang berbentuk panduan umum yang memberi garisan jelas pertimbangan-pertimbangan yang mesti diambil kira dalam membuat keputusan.

“Namun akhirnya, keputusan diserahkan untuk dibincangkan dan dimuktamadkan oleh pimpinan KEADILAN (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) kerana beliau ada keterbatasan dari segi maklumat terkini yang diperolehi.

“Dalam isu rundingan kerusi dengan PAS ini, keterbatasan maklumat itu lebih meruncing kerana satu-satunya saluran maklumat beliau yang paling kerap ialah melalui peguam-peguam Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N Surendren yang ketiga-tiganya adalah pendokong kepada cadangan bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan 3 penjuru,” demikian petikan daripada kenyataan Rafizi.

Dalam pada itu, Sivarasa menambah, kenyataan Anwar sendiri sudah jelas untuk difahami justeru tiada keperluan untuk mana-mana pihak membuat tafsiran mengenainya.

“Saya sudah baca dengan teliti kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan maksudnya cukup jelas. Kita tak perlu tafsiran,” kata beliau.

Ujarnya lagi, pendirian PKR kini adalah sebagaimana menuruti panduan yang digariskan Anwar dalam kenyataannya itu.

Anwar dua hari lalu tampil mengesahkan beliau mempersetujui usaha Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berunding dengan PAS bagi membentuk kerjasama pakatan bagi menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Biro Komunikasi parti itu, Anwar menambah, PKR konsisten untuk mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) dan seandainya wujud rundingan bersama PAS, ia tetap akan berlaku dalam ‘kerangka komitmen PKR dengan PH’.

Dalam perkembangan sama, ketika diajukan mengenai dakwaan bekas ahli PKR yang dipecat, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard bahawa kenyataan Anwar ‘disolek’ bagi menghalalkan tindakan Azmin berunding dengan PAS, Sivarasa enggan mengulas lanjut.

“Bagi saya, saya tak perlu respon kepada kenyataan daripada Chegubard sebab dia bukan ahli PKR lagi. Tak perlu kita respon,” ujar beliau. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.