Lisda Jogging 7km Kekal Cergas

KUALA LUMPUR: Meninggalkan impak selepas membintangi drama rantaian, Hero Seorang Cinderella (HSC), peminat mula bertanya petua aktres Lisdawati menjaga badan.

Dengan tubuh langsing, Lisdawati atau mesra disapa Lisda yang kini berusia 39 tahun, masih menjadi pilihan penerbit untuk membintangi drama.

Lisda memberitahu, suka melakukan aktiviti kecergasan termasuk menyertai maraton sejak remaja.

“Sewaktu remaja, jogging sejauh tujuh hingga 10 kilometer (km) sehari dianggap ‘kacang’.

“Sekarang, saya perlu tingkatkan usaha. Namun, baru-baru ini saya berjaya lari sejauh tujuh km. Orang kata nak seribu daya, tak nak seribu dalih,” katanya kepada BH Online.

Lisda yang juga isteri kepada pelakon, Fauzi Nawawi, lazimnya berlari sendirian.

“Ada kalanya saya berlari di kawasan perumahan atau di tepi tasik. Tak semestinya pada hujung minggu, hari-hari biasa pun saya cuba mencuri masa untuk jogging.

“Saya fikir lihat semangat dan gaya hidup bersukan ini perlu diamalkan sepanjang masa. Usaha sesetengah artis jaga badan memang wajar dipuji,” katanya.

Mengisi masa sementara menunggu tawaran berlakon, Lisda mengusahakan butik di Setapak, di sini sejak tiga tahun lalu.

“Selain menjual baju dan tudung, saya turut mencipta set pakaian kahwin dan busana untuk pelbagai acara lain.

“Namun, saya tak anggap diri ini pereka fesyen. Nak jadi seperti itu perlu ada idea, keyakinan dan khayalan yang tinggi,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.