KPN Yang ‘Luar Biasa’, Zahid Puji Kesetiaan Khalid

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memuji Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai ketua polis negara (KPN) yang berjaya menunjukkan pencapaian luar biasa sepanjang memegang jawatan itu.

Timbalan perdana menteri itu berkata Khalid memiliki kesetiaan luar biasa dan mampu melaksanakan tugasnya dengan cemerlang walaupun ditekan dalam pelbagai situasi.

“Saya hargai jasa beliau selama menyandang jawatan sebagai KPN. Saya sudah nyatakan penghargaan peribadi dan di mesyuarat tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Sepanjang saya secara rasmi dan peribadi bersama beliau (Khalid) dalam perkhidmatan polis dan KDN, beliau seorang KPN yang luar biasa.

“Ia luar biasa kerana kesetiaan yang beliau tunjukkan tidak pernah luntur dalam situasi apapun dan masalah diatasi dengan penuh profesionalisme,” katanya kepada wartawan di Pusat Latihan Polis hari ini.

Khalid bersara hari ini selepas 4 tahun memegang jawatan tertinggi polis. Beliau digantikan bekas pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata di bawah Khalid, kadar jenayah diturunkan kepada 47% mengikut kaedah yang dibuat secara konvensional.

“Selepas ISA dan akta lain dimansuhkan, mereka yang ditahan terpaksa dilepaskan, disebabkan itu berlaku peningkatan kadar jenayah yang paling tinggi.”

Khalid yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-60 esok memulakan kerjaya dalam polis ketika berusia 19 tahun dan pernah menyandang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai ketua polis Negeri Sembilan pada 2005.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, sebelum menjadi ketua polis Selangor pada Jun 2007.

Beliau kemudiannya mengetuai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman pada 2010, sebelum dinaikkan pangkat sebagai timbalan KPN pada 2011, menggantikan Tan Sri Husin Ismail yang bersara wajib.

Pada 17 Mei 2013, anak jati Seremban itu diberikan tanggungjawab untuk menerajui pasukan polis negara menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.-FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.