Kembara Inspirasi Haji Lawat Perkhidmatan Metro Makkah

MAKKAH – Dalam kesibukan menjalani ibadah haji di sini, peserta Kembara Inspirasi Haji meluangkan masa untuk melawat operasi Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro – Southern Line (MMMSL) di Mina yang dikendalikan oleh Prasarana Malaysia Berhad.

Lawatan kira-kira 30 minit itu yang diketuai Pengarah Projek Khir Ariffin turut menemui Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Datuk Seri Azmi Abdul Aziz. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid, lapor Bernama.

Sambil memuji usaha para peserta kembara itu yang  menaiki dua kenderaan sejauh 16,000 kilometer untuk menunaikan haji di Tanah Suci, Azmi berkata ia boleh dijadikan inspirasi buat rakyat Malaysia dalam mengharumkan negara.

Sementara itu, Azmi turut memberi penerangan mengenai operasi tren itu yang dikendalikan kira-kira 8,000 warga kerja Malaysia dan Arab Saudi.

Beroperasi sepanjang 24 jam, perkhidmatan itu memulakan operasi dari 29 Ogos  hingga 4 Sept bagi musim haji tahun ini dengan perkhidmatannya hanya untuk jemaah dari  Asia Selatan dan negara-negara Teluk. 

Tahun ini adalah tahun kedua Prasarana mengendalikan perkhidmatan tren itu.

Perkhidmatan MMMSL itu merangkumi  9 stesen dengan laluan sepanjang 18.1km meliputi Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Selain mendapat gambaran mengenai operasinya, peserta kembara juga berpeluang menaiki tren itu  yang mempunyai 12 gerabak dari stesen Jamarat (Mina 3) hingga stesen Mina 1 dan kembali ke Mina 3.

Selepas itu,  peserta kembara turut bermabit seketika di stesen Mina 3 sebelum menyambung ibadah haji dengan melontar jamrah menjelang subuh Ahad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.