Iran Uji Sistem Pertahanan Udara

TEHERAN – Iran telah menguji sistem pertahanan udara buatan sendiri, direka untuk menandingi sistem peluru berpandu Rusia, S-300, ujar Ketua Pertahanan Udara Pengawal Revolusi, Farzad Esmaili kelmarin.

Menurut AFP, “Selari dengan penggunaan S-300, kerja-kerja terhadap sistem Bavar-373 sedang dijalankan.

“Sistem tersebut dibuat sepenuhnya di Iran dan beberapa bahagian berbeza de­ngan S-300. Kesemua subsistem telah disiap sepenuhnya dan ujian telah dijalankan,” kata Esmaili kepada pemberita, petik Kosmo.

Bavar-373 merupakan sistem pertahanan peluru berpandu jarak jauh pertama milik Teheran dan ia akan beroperasi pada Mac 2018.

Pada tahun 2010, Iran mula membina Bavar-373 selepas pembelian S-300 dari Rusia ditangguhkan kerana sekatan antarabangsa.

Rusia meneruskan penjualan menerusi perjanjian nuklear 2015 bersama kuasa dunia yang menarik balik sekatan dan sistem pertahanan S-300 Iran mula beroperasi pada bulan Mac.

Kelmarin, Menteri Pertahanan baharu, Amir Hatami memberitahu, Iran mempunyai pelan spesifik untuk meningkatkan kuasa peluru berpandunya.

Beliau berharap kemampuan peluru berpandu balistik dan peluru berpandu akan meningkat dalam tempoh empat tahun akan datang.

Kenyataan tersebut dikeluarkan di tengah ketegangan yang semakin meningkat dengan Washington, yang telah meluluskan sekatan baharu terhadap program peluru berpandu balistik Iran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.