Anwar Beri Arahan Berbeza Punca Perbalahan Dalam PKR, Kata Hishamuddin Rais

SHAH ALAM – Perbezaan pendapat yang ketara dalam PKR pada waktu ini sehingga mewujudkan dua kumpulan yang saling bertentangan adalah berpunca daripada cara dan pendekatan Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar dalam Ibrahim mengendali dan mengurus pimpinan.

Aktivis politik pro-pembangkang, Hishamuddin Rais berkata tindakan Anwar yang memberikan arahan yang berbeza-beza kepada pemimpin parti akhirnya menimbulkan kekeliruan.

“Misalnya kepada si polan A Saudara Anwar telah memberi pandangan lain daripada yang diberi kepada si polan B. Dan agak berbeza juga daripada yang diterima oleh si polan C.

“Ini menimbulkan kekeliruan. Buktinya apa yang sedang berlaku sekarang dalam agenda memutuskan kerjasama PKR dengan Parti Islam, PAS.

“Cara atau metode dan pendekatan memimpin seperti ini tidak baik. Ia tidak melahirkan keputusan yang kompak dan tuntas. Hasilnya ialah cerai-berai,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Malaysiakini.

Beliau merujuk kepada krisis dalaman PKR ekoran percanggahan pendapat sesama pimpinan parti itu mengenai usaha mewujudkan rundingan bersama PAS.

Anwar pada Sabtu lalu tampil mengesahkan beliau mempersetujui usaha Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berunding dengan PAS bagi membentuk kerjasama pakatan bagi menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Biro Komunikasi parti itu, Anwar bagaimanapun menambah, PKR konsisten untuk mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) dan seandainya wujud rundingan bersama PAS, ia tetap akan berlaku dalam ‘kerangka komitmen PKR dengan PH’.

Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 29 Ogos lepas telah memuktamadkan bahawa gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada PRU14 dan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya itu.

Dalam pada itu tambah Hishamuddin, kekangan yang dihadapi Anwar berikutan dipenjarakan memustahilkan bekas ketua pembangkang itu mengeluarkan pandangan tentang politik harian dengan betul dan tepat.

Kekangan tersebut bertambah apabila Anwar tidak menerima maklumat dengan jelas.

“Dalam penjara maklumat sampai terputus-putus. Pengalaman dalam penjara membuktikan bahawa maklumat yang sampai bukan saja tidak tuntas malah ada kemungkinan dimasuki oleh Ajinomoto.

“Dalam penjara kita memiliki masa yang banyak. Justeru kita boleh membaca. Kita boleh menulis. Malah berangan-angan dan berkhayal dalam penjara bukan satu jenayah. Mengelamun dan bernostalgia juga boleh dilakukan tanpa gangguan dalam penjara.

“Pada hemat saya apa yang wajib dilakukan oleh saudara Anwar Ibrahim ialah menulis, berfikir, menulis dan berfikir,” katanya.

Hishamuddin turut memberikan contoh beberapa pemimpin politik yang berjaya mengeluarkan tulisan hebat sewaktu dalam tahanan.

Justeru katanya, Anwar wajar mencontohi pemimpin-pemimpin berkenaan, dan bukan menjaja derita ketika menjalani hukuman sewaktu dibebaskan kelak.

“Anwar Ibrahim wajib sedar tentang Julai 2018. Pada hari itu Anwar wajib telah bersedia dengan Magnum Opus daripada dirinya untuk dihadiahkan kepada rakyat Malaysia pada Julai 2018.

“Magnum opus Anwar Ibrahim ditunggu oleh rakyat. Rakyat tidak mahu lagi mendengar kisah dirinya disepak atau dirinya dibogelkan atau dirinya dihina. Zaman kisah itu telah tamat,” kata beliau lagi. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.