Zahid Maafkan Pihak Sebar Fitnah

SUNGAI BULOH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaafkan pihak yang menyebarkan khabar angin kononnya beliau diserang angin ahmar di Padang Terap, semalam.

 

“Jangan begitu, tak elok mendoakan yang tidak baik untuk orang lain. Tak apalah kita maafkan mereka.

 

“Sebelum ini pun, ramai doakan saya cepat padam,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Subang, di Kelab Rahman Putra di sini, hari ini.

 

Ahmad Zahid yang bersuara serak mengakui penat kerana merasmikan mesyuarat perwakilan lapan bahagian UMNO sepanjang minggu ini, namun tidak menghidap penyakit seperti disebarkan.

 

Beliau yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO turut menegaskan agar parti komponen Barisan Nasional (BN) menggerakkan usaha serta komitmen membantu kaum bukan Bumiputera sama seperti dilakukan UMNO dalam membantu kaum Melayu dan Bumiputera.

 

“Bagi bantuan kepada orang Cina dan India, mereka juga ada golongan susah. Bantu mereka macam mana UMNO bantu Melayu.

 

“Perubahan ini akan membantu kita, tidak mustahil kita mampu rampas semula Selangor di bawah BN,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.