Kerajaan Sabah Mahu PBT Giat Bersih Kawasan Biak Nyamuk

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah mahu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melancarkan gotong-royong besar-besaran membersihkan kawasan masing-masing, susulan jangkitan virus zika pertama di negeri ini, dua hari lalu.

 

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, juga mahu pihak berkuasa berkaitan meningkatkan langkah untuk memastikan kawasan di bawah bidang kuasa mereka bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.

 

Beliau juga menggesa wakil rakyat dan pemimpin masyarakat lebih proaktif menjalankan kempen kesedaran mengenai penyakit berkaitan nyamuk, selain melaksanakan gotong royong untuk menjaga kawasan masing-masing daripada menjadi potensi tempat pembiakan nyamuk.

 

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Kita semua perlu memainkan peranan dengan memastikan persekitaran sentiasa bersih,” katanya menerusi kenyataan, sebentar tadi.

 

Musa juga mahu PBT menggunakan sepenuhnya undang-undang terhadap mereka yang mengabaikan arahan untuk membersihkan kebersihan persekitaran, terutama tapak pembinaan yang sering menjadi tempat pembiakan nyamuk.

 

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan menerima laporan kes jangkitan virus zika tempatan pertama di Malaysia pada Jumaat lalu, membabitkan lelaki tempatan berusia 61 tahun menetap di Taman Public Jaya di Likas, di sini.

 

Keadaan pesakit menghidap darah tinggi, masalah pembuluh darah jantung, sakit kronik buah pinggang, masalah batu karang dan gout menyebabkan keadaannya agak serius ketika dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) di sini.

 

Pesakit itu meninggal dunia di HQE2 kira-kira jam 5.30 petang semalam, akibat penyakit jantung dan bukan kesan virus berkenaan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.