Hukum Tawaf Guna Papan Segway Harus – Mufti WP

Kuala Lumpur – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad berkata hukum tawaf menggunakan kenderaan dan tunggangan termasuk papan segway adalah harus.

 

Ia katanya, berdasarkan kepada nas-nas yang dibincangkan secara khusus dalam Irsyad Fatwa ke-89 yang menunjukkan kebolehan untuk melakukan tawaf dengan menggunakan kenderaan dan tunggangan.

 

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada sebab menggunakan alat moden beroda dua yang digerakkan menggunakan kuasa bateri itu.

 

 

“Berdasarkan nas-nas, jelas menunjukkan kebolehan untuk melakukan tawaf dengan menggunakan kenderaan dan tunggangan (pada waktu itu), tetapi antara sebabnya adalah kerana untuk membimbing orang ramai, kerana untuk orang ramai dapat mengikuti dan mempelajari serta kerana uzur atau sakit.

 

“Justeru, hukum menggunakan alatan tersebut adalah harus,” katanya melalui laman Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

 

Jelasnya, keputusan itu juga turut dibuat berdasarkan pendapat tiga ulama yang membincangkan perkara itu secara khusus.

 

“Setelah melihat ketiga-tiga pandangan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang mengharuskannya selaras dengan mazhab Syafi’e, Ibn al-Munzir dan ramai lagi kerana nas yang sahih lagi sarih (jelas) menunjukkan ke arah itu.

 

Bagaimanapun katanya, beberapa kriteria perlu difahami termasuk tawaf secara biasa (berjalan) jauh lebih baik dan aula (utama) kerana ia merupakan perbuatan Nabi SAW pada kebanyakan keadaan dan juga para sahabat.

 

Selain itu katanya, syarat-syarat tawaf juga perlu dipenuhi agar tidak terbatal serta jangan sesekali melanggar orang ramai atau menyakiti jemaah lain.

 

Terdahulu, pendakwah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah yang berkata menaiki papan segway boleh dikategorikan sebagai menaiki kenderaan dan ia dibolehkan.

 

Jelasnya, tawaf boleh dilakukan dalam tiga bentuk iaitu berjalan kaki, menaiki kenderaan atau diusung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.