‘Salute’ Punyai Sebab Tersendiri – Rizal Mansor

Kuala Lumpur – Yayasan Perdana Ummah (YPU) meminta mana-mana pihak tidak mempertikaikan penggunaan bahasa Inggeris pada kempen kesedaran semangat cintakan negara iaitu ‘Salute Malaysia’ yang dianjurkan.

Pengarah Eksekutif YPU, Rizal Mansor, berkata, penggunaan perkataan ‘salute’ adalah mengikut trend bagi menarik perhatian golongan remaja menyertai kempen tersebut.

“Sebenarnya pihak kami telah menjalani survey daripada pelajar-pelajar sekolah dengan meminta mereka memilih nama kempen sama ada Tabik Malaysia atau Salute Malaysia.

“Ternyata mereka lebih senang dengan Salute Malaysia. Sebab itu kami memilih nama tersebut. Bukan kerana enggan menggunakan bahasa kebangsaan, tetapi kami sengaja ingin menarik perhatian pelajar dengan menggunakan bahasa-bahasa yang mereka gemari,” katanya.

Rizal ditemui pada majlis pelancaran kempen Salute Malaysia di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini pada Rabu.

Salute Malaysia yang turut mendapat kerjasama daripada UniKL dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) merupakan inisiatif daripada YPU bagi membantu kerajaan menyuntik semangat jiwa patriotik kepada warga Malaysia terutamanya bagi golongan remaja.

Kempen tersebut  dijalankan bermula 3 September 2014 sehingga 16 September 2014.

Menerusi kempen tersebut, rakyat Malaysia berpeluang memenangi hadiah sebanyak RM20,000 dengan memuat naik gambar ‘Tabik Hormat’ Jalur Gemilang menerusi laman sosial Instagram, Facebook dan Twitter menggunakan hashtag #SALUTEMALAYSIA dan #NEGARAKU.

“Di zaman ini, semuanya menggunakan media sosial dan pihak kami mengambil peluang itu menarik minat golongan muda menyayangi negara menerusi kempen ini dengan memua tnaik foto aksi mereka bersama bendera Malaysia. Terpulang pada kreativiti masing-masing.

“Idea yang paling kreatif akan dipilih sebagai pemenang dan penyertaan dibuka sehingga 16 September ini,” ujarnya.

Bagi melengkapkan pengisian kempen, YPU turut menerbitkan lagu tema Salute Malaysia ciptaan Cat Farish, Shahrul Nasrun Kamarudin dan Amelia Hassan.

Lagu tersebut dinyanyikan oleh Amy Search, Cat Farish, Lah Ahmad, Zain (Ruffedge), Tiga Swagger, Ronnie (Hyper Act), YMY dan Ustaz Kyrel.

Sementara itu, majlis pelancaran Salute Malaysia turut dihadiri ramai selebriti termasuklah Datuk Lee Chong Wei, Datuk Yusof Haslam, Rita Rudaini, Kaka Azraf, Aweera, Johan As’ari, RJ, Soffi Jikan, Suki, Fizz Fairuz dan Ayda Jebat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!