‘Temu Bual Segera Sebelum Aku Mati’

KUALA LUMPUR – “Dulu lebih 400 orang datang ke rumah ingin menziarah selepas kisah saya meninggal dunia, viral di media sosial.

“Tetapi Alhamdullilah saya masih sihat. Jadi kalau nak interviu pasal kehidupan dan minat mengumpul pelbagai koleksi gambar zaman dulu sampai sekarang boleh.

“Tak pernah wartawan interviu. Baik cepat sebelum aku mati,”, itulah ayat yang diucapkan bekas personaliti TV3, Datuk Mahadzir Lokman, 61, ketika Pengarang Berita Gaya Hidup dan Wanita BH, Jami’ah Sokri menerima undangan makan malam di kediamannya di Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Jami’ah yang mula mengenali rapat Allahyarham atau sinonim panggilan Dale sejak dua minggu lalu, tidak menyangka berita kematiannya yang dimaklumkan rakan sekerja kali ini adalah benar, bukan viral seperti sebelum ini.

Beliau terkejut kerana pertemuan seminggu lalu dan perbualan hampir satu jam dengan Allahyarham, Isnin lalu adalah yang terakhir.

“Sepatutnya saya mahu menemuramah mengenai kisah kehidupan Allahyarham dan minatnya mengumpul koleksi gambar sejak zaman kanak-kanak sehingga sekarang, minggu depan, tetapi tak sempat dia sudah meninggal dunia, awal pagi tadi.

“Mengagumi personaliti, kehebatannya menguasai lapan bahasa asing, selain melihat deretan gambar digantung di dinding dan tersusun kemas di atas meja membuatkan saya terdetik menanyakan untuk menemuramahnya kemudian,” katanya.

Dari riak wajah dan pergerakkannya memang Allahyarham nampak pucat dan lemah dengan pergelangan tangan ada tag nama dan masih dalam pemantauan tahap kesihatan di Hospital Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Bagaimanapun, Allahyarham melayani beliau yang datang bersama dua rakan lain, tanpa menyangka ajalnya sudah dekat.

Ketika berjumpa di rumahnya, Allahyarham tetap ceria dan perbualannya di selang-seli dengan gurau jenaka mengenai pelbagai topik.

Kali terakhir, Allahyarham menghubungi beliau pada Isnin lalu menyatakan akan ke Kota Kinabalu, untuk berjumpa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atas urusan kerja.

“Saya bercakap hampir sejam dengan Allahyarham mengenai pelbagai perkara, termasuk mahu saya sampaikan salam kepada Duta Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil dan isterinya kerana tidak sempat berjumpa lagi untuk majlis potluck yang kami rancangkan.

“Penerbangan Mohamad Razdan ke Paris, 9.30 pagi hari ini, sedangkan Allahyarham sepatutnya sampai dari Sabah ke sini, tengah hari, hari ini.

“Kami juga sepatutnya buat potluck bersama teman rapat lain. Ini juga nampaknya tak jadi,” katanya.

Personaliti popular itu meninggal dunia di sebuah hotel di Kota Kinabalu, pagi semalam. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.